Tuan Ibrahim menerima borang permohonan keahlian PAS daripada Yusof, disaksikan Yohanis dan Dr Hamzah.


JERANTUT: Umno Jerantut khususnya Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Tawar menerima tamparan hebat apabila para peneroka Felda meninggalkan perjuangan parti itu dan menyertai PAS.

 

Malam tadi, Ketua Umno Cawangan Jengka 9, Yusof Hasan, mengisytiharkan diri menyertai PAS bersama para penyokongnya.

 

Bekas Ketua Kampung Jengka 9 itu membuat perisytiharan demikian sejurus selepas menyerahkan borang menyertai PAS kepada Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada satu majlis yang diadakan di tanah rancangan Felda itu.

 

Hadir sama ialah Yang Dipertua PAS Jerantut, Dr Hamzah Jaafar.

 

Yusof yang menyandang jawatan ketua Umno cawangan selama 20 tahun iaitu dari 1987 hingga 2007 dan menjadi ketua kampung Jengka 9 selama 10 tahun 1997 hingga 2007, turut menyerahkan borang PAS mewakili isteri dan para penyokongnya.

 

Sementara itu dalam ucapannya, beliau bersama penyokong yang terdiri daripada golongan muda, bertekad untuk menumbangkan BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang kerana sudah menyedari pengkhianatan yang dilakukan terhadap orang Melayu.

 

Antara lain, beliau juga meyakini tawaran PAS dan Pakatan Rakyat yang akan membela nasib generasi kedua Felda dan rakyat umumnya melalui konsep negara berkebajikan.

 

Dalam pada itu, Pengarah PAS Dun Pulau Tawar, Yohanis Ahmad, percaya lebih ramai lagi ahli dan penyokong Umno akan menyertai atau membantu perjuangan PAS memandangkan Yusof seorang yang berpengaruh dan dihormati di situ.

 

Share on Myspace