(Orang ramai berrebut untuk bersalam dengan Khalid dan ustaz azhar di Masjid Ijok)

 

SHAH ALAM: Di manakah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan bertanding dalam pilihan raya umum kali ini masih lagi menjadi tanda tanya.

Ini berikutan kenaikan mendadak pengundi luar di DUN Ijok yang kini diwakili oleh Menteri Besar Selangor itu.

Menurut sumber, 3,000 Bangladesh telah didaftarkan di kawasan itu kerana calon Umno dijangka akan bertanding semula di situ.

Dalam pilihan raya kecil Ijok, calon MIC, K Partibhan dipilih dan menang. Namun Partibhan tidak diletakkan dalam pilihan raya umum dan Khalid menang dalam pilihan raya umum itu.

Ekoran itu, para pegawai Khalid dikatakan berusaha untuk mempastikan beliau menang dalam pilihan raya kali ini dan mengelakkan diri dari terperangkap dalam permainan kotor lawannya itu.

(Orang India Bestari Jaya yang menyertai majlis Khalid dan Ambiga)

 

Media ada melaporkan Khalid akan ke Port Klang dan ada juga yang berkata beliau akan ke Bukit Melawati.

Namun kedua-dua kerusi itu bukanlah kerusi yang selamat. Jika begitu lebih baik Khalid kekal di Ijok.

Dalam pilihan raya umum lalu, Khalid mendapat 7,196 undi berbanding lawannya, Datuk Mohamed Sayuti Said dari BN 5,276. Khalid menang dengan majoriti 1,920 dalam kawasan 50 peratus Melayu itu.

"Kerusi yang sesuai untuk Khalid adalah Bukit Lanjan kawasan DUN Elyzabeth Wong yang dikatakan akan berpindah ke kerusi Parlimen Petaling Jaya Selatan.

"Satu lagi adalah bertukar dengan Dr Nasir Hashim di Kota Damansara," kata sumber yang rapat dengan pejabat MB itu.

Namun Khalid dikatakan bertegas mahu kekal di Ijok walaupun terpaksa kalah dalam pilihan raya ini.


(Khalid menghadiahkan buku tentang Selangor kepada Ustaz Azhar Idrus)

 

"Khalid orang yang tidak ada kepentingan diri. Harga diri lebih penting bagi beliau. Jika dia ke Bukit Lanjan, dia akan dituduh Umno lari dari kerusi Melayu ke kawasan kerusi Cina.

"Jadi, mengenali Tan Sri (Khalid), saya yakin dia akan bertegas mahu mempertahankan Ijok walaupun berhadapan dengan risiko kalah," kata sumber itu.

Sokongan yang melonjak kepada Khalid sejak kebelakangan ini di Ijok menambahkan lagi semangat beliau untuk kekal di Ijok walaupun berdepan dengan permainan kotor pihak lawan itu.

Semasa ceramah Ustaz Azhar Idrus di Masjid Ijok baru-baru ini, 12,000 orang telah menyertai majlis yang turut disertai Khalid itu.

"Memang antara sebab orang datang kerana Ustaz Azhar tetapi apabila bersalam, orang ramai berebut untuk bersalam dengan Tan Sri," kata satu sumber.

Majlis di Bestari jaya yang turut disertai oleh Datuk Ambiga Srenevasan juga mendapat sambutan hangat di kalangan masyarakat India di situ.

Kira-kira 5,000 orang khasnya masyarakat India temepatan menyertai majlis bersama Khalid dan Ambiga itu.

Di majlis itu, orang-orang India juga nampaknya sangat positif dengan Khalid tambahan lagi calon Umno akan bertanding di Ijok kali ini.

Antara calon Umno yang disebut-sebut bakal bertanding di Ijok adalah Datuk FD Iskandar, seorang usahawan Melayu yang berjaya dan naik dengan kekuatan peribadi.

Iskandar disebut Umno melalui laman webnya antara calon MB Selangor di kalangan Umno.



Share on Myspace