Umno heret Ops Daulat untuk kempen PRU

| .

(Bendera Ops Daulat yang dinaikkan di Bukit Lada, Chenor)

 

 

MARAN: Di sebalik gesaan pihak berkuasa supaya peristiwa pencerobohan di Lahad Datu Sabah tidak dipolitikkan, Umno pula dilihat cuba mengheret isu tersebut menjelang pilihan raya umum (PRU) yang akan datang ini.

Di simpang masuk ke Kampung Bukit Lada dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Chenor di sini, dikibarkan bendera BN bertulis ‘Ops Daulat PRU 13’ dipercayai dinaikkan oleh petugas-petugas Umno kampung berkenaan.

Serentak dengan itu Ketua Pemuda PAS cawangan kampung berkenaan Mohd Roduan Zainal Abidin (gambar), 30, mahu bendera tersebut diturunkan kerana boleh mengundang provokasi jika dibiarkan berterusan.

“Apa motif kaitkan Ops Daulat dengan PRU 13. Kami bantah naikkan bendera itu kerana seolah-olah nak gambarkan PRU ini sebagai perang. Apakah lawan BN dalam PRU mahu dianggap tidak setia kepada negara? Mereka faham atau tidak dengan isu ini atau sengaja main-mainkan?

“Peringkat atasan kata jangan politikkan isu keselamatan, kita hormati permintaan daripada kerajaan itu kerana menganggap isu keselamatan adalah isu bersama tetapi di sini mereka buat modal kempen PRU, jadi tak baguslah,” katanya.

Roduan berkata, Pemuda memberi tempoh seminggu untuk pihak yang mahu menangguk di air keruh itu menurunkan bendera berkenaan atau pihaknya akan membuat laporan polis.

Ops Daulat ialah operasi pasukan keselamatan menggeledah dan menjejaki pengganas Sulu yang menceroboh kawasan di Lahad Datu, Sabah bulan lalu sehingga mengorbankan 8 prajurit negara dan berpuluh-puluh anggota mereka.

Sementara itu ketua keselamatan PAS Dun Chenor, Ahmad Jamal Azian (gambar kanan), 44, berkata tindakan menaikkan bendera BN dengan Ops Daulat itu seolah-olah ada pihak yang mahu timbulkan suasana tegang dengan sentimen keselamatan.

“Apa maksud mereka naikkan bendera itu? Adakah mereka ingin mengatakan pembangkang itu seperti penceroboh Sulu? Adakah mereka mahu mengatakan menyokong BN itu syahid dunia seperti perajurit yang gugur? Apakah Ops Daulat itu sememangnya dirancang jadi modal PRU? Atau adakah mereka sekadar mahu menaikkan semangat pekerja pilihan raya Umno yg dilihat masih lena?

“Semua itu menimbulkan persoalan tetapi dilihat seolah-olah Umno sudah ketandusan isu sehingga sanggup mencemarkan perjuangan perwira negara di Lahad Datu,” katanya.

Sementara itu Penyelaras PAS Dun Chenor, Ramli Awang Abdul Rahman berkata, tindakan Umno menyamakan kempen PRU 13 dengan Ops Daulat adalah satu penghinaan kepada anggota keselamatan yang terkorban dan tindakan menaikkan bendera itu amat tidak wajar.

Katanya, satu laporan polis akan dibuat jika bendera tersebut terus dibiarkan.

Share on Myspace