KUALA LUMPUR: Sekretariat Prihatin OKU menyesali tindakan Puteri Umno yang seakan-akan memaksa orang kurang upaya (OKU) mengundi BN selepas menerima BR1M.

Pengerusinya, Mohammad Faizal Che Yusof (gambar) dalam kenyataannya berkata, pihak sekretariat telah menerima aduan bagaimana seorang OKU di negeri Kelantan telah diminta oleh pihak Puteri UMNO untuk beliau mengundi BN kerana telah menerima pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia, BRIM.

Pengadu juga mengadu kebimbangan beliau dihentikan atau dipotong bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia bilamana beliau dilihat tidak memberi sokongan kepada parti UMNO atau Barisan Nasional.

Menurut Faizal, bagi sebahagian orang awam, herdikan atau ugutan seumpama di atas boleh dikesampingkan begitu saja.

Namun ia amat memberi kesan psikologi kepada warga OKU, jelas beliau.

"Kami tegaskan bahawa apa juga dana dan program yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan yang memerintah, ia menjadi hak kepada rakyat tanpa mengira idiologi atau fahaman politik.

"Justeru amat tidak wajar setiap bantuan dan dana yang dibelanjakan oleh kerajaan memerintah dijadikan alat untuk mengenakan ugutan atau tindakan perdayaan demi kepentingan sempit pihak-pihak tertentu," katanya.

Menurut Faizal, sebagaimana di perakui oleh muqadimah Akta OKU 2008, Akta 685, setiap warga OKU mestilah dihormati haknya sebagai rakyat Malaysia lain seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Rakyat, katanya, termasuklah OKU adalah bebas untuk menyokong atau condong kepada mana-mana parti politik selagi ia selari dengan amalan demokrasi berparlimen yang amalkan selama ini.

"Kami menyeru untuk setiap pihak menghormati tempoh masa yang cukup kritikal pada masa kini bilamana keadaan ambang Pilihan Raya Umum 13 masih tidak menunjukkan tanda bila PRU 13 akan berlangsung," kata beliau.

Bagi beliau, dalam waktu negara meraikan keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang mana calon-calon OKU penglihatan telah mendapat keputusan cemerlang, pihak sekretariat terus menerima aduan ugutan pihak-pihak tertentu terhadap warga OKU.

Suasana ambang PRU 13 telah dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengenakan pelbagai tindakan berupa ugutan, perdayaan dan pengaruh yang tak berpatutan terhadap warga OKU.

Share on Myspace