Laporan ETP: GTP 2012 bukti kerajaan hilang punca

Harakahdaily | .

KUALA LUMPUR: Pembentangan Laporan Tahunan Pelan Transformasi Nasional (NTP) 2012 yang merangkumi Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) menjadi satu lagi bukti kelemahan kerajaan mengurus tadbir ekonomi negara.

 

“Angka-angka besar yang dicanangkan ibarat tong kosong, kuat bunyinya, isinya tiada – sekadar mengabui mata rakyat mengenai prestasi sebenar kerajaan,” ujar Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan.

 

Hakikatnya, kata beliau laporan tersebut melalui pengesahan firma audit terkemuka Price Waterhouse Coopers (PWC) yang dilantik kerajaan sendiri menunjukkan penurunan ketara dalam unjuran jumlah Pendapatan Negara Kasar (GNI) tahun 2020 dari RM129.5 billion pada tahun 2011 kepada RM6.6 billion sahaja pada 2012.

 

Jumlah penempatan kerja baharu dari projek-projek ETP pula turun mendadak dari 313,741 pada tahun 2011 kepada 94,702 tahun lepas.

 

Hatta, katanya jumlah penempatan kerja baru 2011 tersebut boleh dipertikai memandangkan KWSP cuma mencatat 224,182 pencarum baru bagi tempoh yang sama, apatah lagi angka-angka 2011 ETP tidak pernah disahkan oleh PWC.

 

“Maka timbul persoalan sejauh mana ETP relevan dalam pembangunan ekonomi negara?” tanya beliau.

 

Dengan prestasi ETP yang sebegitu lemah, Keluaran Negara Kasar (GDP) negara terus meningkat dari 5.1% kepada 5.6% tahun lepas. GNI juga dilaporkan meningkat dari USD 9,900 pada tahun 2011 kepada USD9,970.

 

Malah, kata Nasrudin cukup sukar untuk mengaitkan peningkatan hasil negara kepada RM207 billion berpunca dari perlaksanaan ETP memandangkan cuma 39 projek dilaksanakan sepanjang tempoh tahun lepas berbanding 129 projek tahun 2011.

 

“Laporan 2012 ini bukan sekadar menunjukkan kerajaan semakin kehabisan punca untuk memajukan negara malah wajar untuk kita mempersoalkan kecekapan Pemandu di dalam mengemudi ETP,” katanya.

 

Ini, ujar beliau belum lagi mengambil kira jumlah hutang negara yang terus meningkat semata-mata untuk memastikan kelangsungan pelan transformasi kosong ini.

 

Apa yang pastinya, ujar beliau Laporan NTP 2012 itu menunjukkan pengaruh dorongan ETP di dalam memacu ekonomi negara semakin mengecil dan telah hilang relevannya.

 

“Maka untuk apa kita berbelanja RM40 juta setahun bagi membiayai Pemandu dan inisiatif-inisiatif syok sendirinya?

 

“Memandangkan PM Datuk Seri Najib Tun Abd. Razak sering mendakwa bahawa mandat beliau bergantung kepada prestasi transformasi yang beliau megahkan ini, maka laporan 2012 ini menjadi satu lagi bukti bahawa mandat beliau telah gagal,” ujarnya lagi.

 

Justeru, ujar beliau satu-satunya tindakan transformasi yang tinggal sekarang ini adalah pelan penukaran kerajaan secara aman dari BN Umno kepada Pakatan Rakyat di dalam PRU13 yang segera mendatang.

Share on Myspace