GTP: 7 kegagalan NKRA

Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) | .

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasai tekanannya apabila kadar sokongan terhadap beliau menunjukkan penurunan. Keadaan tidak menyebelahinya apabila beberapa kajian turut meramalkan Najib akan gagal dalam penawanan semula kerusi dua pertiga majoriti dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang ini. Keadaan ini bakal mengakibatkan Najib menjejaki langkah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang terpaksa mengangkat bendera putih dan berundur selepas PRU ke-12 yang lalu.

Dalam usaha saat-saat terakhir menarik sokongan rakyat, Najib menangguhkan penetapan tarikh pembubaran Parlimen walaupun telah sudah tamat penggal 5 tahun Parlimen. Menurut Najib, beliau memerlukan masa tambahan untuk melaksanakan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP), malah menyeru rakyat untuk memberikan peluang kepada beliau untuk meneruskan pentadbirannya.

Najib membentangkan Laporan Pengumuman laporan hasil kerja ETP dan GTP yang  dilaksanakan selama tiga tahun semalam yakni pada 19 March 2013. Dalam pembentangan tersebut, Najib mengumumkan bahwa kesemua tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah GTP menghasilkan pencapaian dan kejayaan yang kagum. Contoh kejayaan menurut GTP beliau termasuklah; penurunan kadar Jenayah, peningkatan dalam purata pendapatan isi rumah, kadar inflasi terendah di rantau dan lain-lain. Najib juga mengumumkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan disalurkan setiap tahun. Namun, didapati juga bahawa beberapa isu penting tidak mendapat perhatian, terutamanya kadar hutang dan defisit negara.

Selaku Menteri Kewangan, Najib tidak kelihatan berprihatin langsung terhadap hutang negara yang kini telahpun mencecah RM502,359juta, di mana mencakupi sebanyak 53.3 peratus daripada jumlah Pendapatan Negara Kasar (PNK). Sedangkan beliau beria-ria dengan pencapaian program-program transformasi yang diperkenalkan dan giat digerakkan olehnya, Najib tidak mengkaji dengan teliti keadaan kewangan negara yang kian membimbangkan, ataupun sengaja ditepikan demi mempertahankan air mukanya sebagai pemimpin tertinggi dalam negara, lebih-lebih lagi, demi mempertahankan tampuk pimpinannya.

Selain itu, Najib turut berniat menyembunyikan perbelanjaan kerajaan yang tidak berhemah selepas beliau mengambil alih Putrajaya dan melaksanakan program transformasi yang kononnya seumpama “kenderaan yang membawa negara kita menuju ke destinasi negara yang berpendapatan tinggi”. Pencapaian yang diraikan sememangnya dihiasi dengan peruntukan dan perbelanjaan yang tinggi-tinggi belaka. Contohnya, jumlah perbelanjaan kerajaan Najib bagi tahun 2013 mencapai sejumlah RM251.6 bilion, dan ini sekali lagi mencatatkan jumlah perbelanjaan tertinggi! Walaupun negara terpaksa berhadapan dengan deficit yang meruncing akibat ketidaktelusan dan ketirisan yang serius dalam pentadbiran, Najib tidak menunjukkan dedikasi dan usaha untuk menjimatkan kos dan menolak perbelanjaan yang ghairah. Kekayaan negara dan kebajikan rakyat terpaksa digadai, sekadar-kadarnya demi memenuhi keangkuhan seseorang pemimpin.

Taktik Menarik Sokongan

Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU), sebuah badan pemikir dan penyelidikan berpendapat pengumuman kejayaan GTP dibuat berasaskan perasaan positif palsu yang diberikan untuk membuktikan Najib berjaya menakluki gunung kejayaan sosio-ekonomi di bawah pentadbiran beliau.
Dalam pembentangan Najib, beliau telah beberapa kali menegaskan kerajaan Barisan Nasional (BN) merupakan kerajaan yang menepati janji sambil mengkritik Pakatan Rakyat (PAKATAN) sebagai pihak yang tiada kemampuan untuk menunaikan janji-janjinya. Najib turut mengancam negara akan menjadi teruk jika berlakunya pertukaran kerajaan. Adakah kita mahukan seorang pemimpin yang menggugut keselamatan jika kita tidak mengekalkan kuasa beliau?

Menurut beberapa kajian antarabangsa dan badan bukan kerajaan, di mana berada kejayaan yang didokong, pastinya terdapat kegagalan yang disembunyikan dan dalam isu ini, terdapat beberapa kegagalan 7 NKRA di bawah GTP. Terutamanya masalah penurunan kadar jenayah yang berbeza dengan persepsi rakyat terhadap jenayah yang tidak didapati dalam laporan yang baru-baru ini. Adakah inisiatif mengurangkan Perasaan Takut terhadap aktiviti Jenayah (Crime - Reduce Fear of Crime) yang telah diperuntukkan sebanyak RM170 juta pada tahun 2012 telah membawa kesan positif kepada rakyat Malaysia? Ia terbuka untuk perdebatan.

Walaupun kerajaan menegaskan kadar jenayah di negara ini telah menurun, akan tetapi, Kumpulan pemerhati jenayah, Mywatch mendedahkan PDRM hanya menggunakan kategori jenayah indeks bagi mengira kadar jenayah tetapi tidak mengambil kira jenayah bukan indeks dalam NKRA walaupun pentadbiran Najib telah menjelaskan perbezaan antara persepsi rakyat terhadap jenayah dengan angka Pemandu merupakan suatu perkara yang amat penting kepada rakyat.

Oleh hal yang demikian, ia didapati bahawa pengumuman GTP hanya fokus kepada pencapaian dan kejayaan yang mislead merupakan satu taktik Najib bagi menarik balik sokongan rakyat demi mengekalkan kuasa pentadbiran negara beliau.

Berdebat dengan Anwar, Jangan Berlakon Seorang Diri

KPRU mendapati sebagai seorang Perdana Menteri, Najib merupakan seorang pemimpin negara yang menggemari berada di atas pentas, walaupun sehingga masa kini masih tidak membalas jemputan daripada Ketua Pembangkang,  Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat mengenai dasar ekonomi negara ini di hadapan seluruh rakyat. KPRU menggesa Najib memberi peluang kepada rakyat untuk menilai tawaran manifesto PAKATAN dan membuat perbandingan dengan dasar GTP melalui perdebatan antara beliau dan Dato' Seri Anwar dan perebatan terebut disiarkan secara langsung melalui RTM tanpa penapisan.

KPRU menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi, adalah wajar untuk memberikan peluang kepada calon pemimpin negara untuk menyampaikan dasar-dasar kepada rakyat. Manakala, rakyat harus diberikan peluang untuk membuat pilihan yang paling tepat semasa PRU tanpa ugutan oleh mana-mana pihak. Oleh itu, KPRU menuntut perdebatan antara Najib dan Anwar diadakan sebelum PRU-13, dan bukannya terukan persembahan solo beliau dengan berada di pentas berlakon dengan dirinya.

Berdirinya di atas pentas dengan begitu besar hati, Najib kelihatan begitu teruja dengan tepukan apabila menyindir manisfesto yang dilancarkan oleh PAKATAN bertema PAKATAN Harapan Rakyat. Namun, beliau masih tidak kelihatan bersedia untuk menyahut undangan Anwar Ibrahim yang telah berkali-kali mengajak Perdana Menteri untuk berbahas. Sekiranya Najib begitu berkeyakinan dengan keberkesanan dan kejayaan program transformasi serta dasar-dasar lain yang dilaksanakan kerajaan BN, mengapakah beliau tidak sanggup berbahas dengan Anwar Ibrahim untuk sekali gus menyerlah kemampuannya yang tidak dapat dipersoalkan?

Perbandingan Kejayaanan dan Kegagalan 7 Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) GTP

1. Mengurangkan jenayah

a.Hasil menurut laporan BN

i. Pada tahun 2012, jenayah Indeks: -7.6%, jenayah jalanan:  –41.3% .
ii. Keseluruhan GTP 1.0,  jenayah Indeks: -26.8%, jenayah jalanan –40.8%.
iii. Meningkatkan jumlah tangkapan yang dibicarakan (34.7% pada tahun 2012).         

b. Kegagalan
i. Walaupun Laporan GTP 2011 menyatakan kadar indeks jenayah telah menurun, malah  persepsi rakyat terhadap jenayah adalah lebih tinggi daripada jumlah aktiviti jenayah secara keseluruhan.
ii. Kumpulan pemerhati jenayah, MyWatch mendedahkan PDRM hanya menggunakan kategori jenayah indeks bagi mengira turun naik kadar jenayah tetapi tidak mengambil kira jenayah bukan indeks dalam pengiraan NKRA.
iii. Jenayah seperti culik, pemerasan, ugutan jenayah dan mencederakan (Sek. 323 K.K) bagi tempoh Jan-Jun 2012 adalah sebanyak 6,631 kes manakala jumlah bagi tempoh masa saa 2011 adalah sebanyak 6,752.
iv. Jenayah bukan indeks  iaitu kecurian kenderaan seluruh Malaysia daripada Julai-September 2011 sebanyak 17,645 dan dalam tempoh sama pada 2012 meningkat 3.5 peratus kepada 18,269.
v. Pada April hingga Julai 2012, beberapa kes rompakan terjadi di kawasan tempat letak kereta pusat membeli belah, termasuk Mid Valley, One U, dan Publika.
vi. Baru-baru ini (Mac 2013), seorang guru Amerika   menahan sebuah teksi berhampiran pusat beli-belah untuk pulang ke rumah di Damansara Perdana, diculik,  ditahan oleh pemandu teksi dan  dirogol oleh sejenayah.  Kes ini menarik perhatian kedutaan AS .

2. Memerangi rasuah
a.Hasil menurut laporan BN
i. Malaysia satu-satunya negara yang menjadikan pembasmian rasuah di antara pelan transformasinya.
ii. CPI bertambah baik daripada tangga ke-60 tahun 2011 kepada tangga ke-54 tahun 2012.

b. Kegagalan
i. Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) Malaysia telah menurun kepada 4.3 daripada 10 dan tangga ke-60 daripada 183 negara dalam tempoh pentadbiran Najib.
ii. Badan pemantau – Global Finandial Integrity (GFI) yang berpangkalan di Washington  mendapati lonjakan dramatik pengaliran modal di Malaysia – dari AS$30.41 bilion (RM93 bilion) pada tahun 2009 kepada AS$64.38  bilion (RM196.8 bilion) pada tahun 2010.
iii. Ia hampir  RM200 bilion wang kotor mengalir keluar dari Malaysia pada tahun 2010 – meletakkan negara ini di tempat kedua di belakang kuasa ekonomi Asia, China, dalam pengaliran modal global.

3. Meluaskan akses kepada pendidikan bermutu dan termampu
a.Hasil menurut laporan BN
i. Peningkatan enrolmen kepada 80% bagi kanak-kanak usia prasekolah.
ii. Saringan kohort ketiga di bawah program Saringan Literasi dan Numerasi NKRA menunjukkan kadar kecekapan sebanyak 82% dan 90% bagi setiap kategori masing-masing.
iii. Kira-kira sejumlah 61,000 guru Bahasa Inggeris telah diuji di bawah Ujian Penempatan Cambridge (CPT) bagi mengukur kecekapan mereka dalam bahasa Inggeris.
iv. Mengeluarkan 164 buah sekolah berprestasi rendah kepada jaluran yang lebih baik.    

b. Kegagalan
i. “Trends in International Math and Science Study” (TIMSS) 2011 menunjukkan Malaysia telah turun beberapa dalam tangga kedudukan dan markah purata bagi Matematik dan Sains.
ii. Skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam Matematik dan Sains merosot dengan ketara. Skor Matematik 2011 merosot kepada 440 mata berbanding dengan 474 mata pada tahun 2007.  Dibelakang negara-negara seperti Korea, Singapura, Chinese Taipei, Hong Kong dan Jepun, yang menduduki lima tangga teratas seluruh dunia.
iii. Skor Sains 2011 merosot kepada 426 mata pada 2011 berbanding 471 pada tahun 2007.

4. Meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah
a.Hasil menurut laporan BN
i. Seramai 106,967 orang berjaya didaftarkan & terlibat di bawah program Azam Kerja, Azam Niaga, Azam Khidmat & Azam Tani .
ii. E-Kasih telah berjaya mengeluarkan 100,000 rakyat daripada belenggu kemiskinan.
iii. Lebih 100,000 unit kediaman mampu milik.
iv. Sepanjang tiga tahun ini, 4,300 usahawan wanita telah dilatih, melebihi sasaran awal berjumlah 4,000 yang telah ditetapkan pada permulaan GTP 1.0.         

b. Kegagalan
i. Berdasarkan kenyataan Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, sebanyak 2,680 orang usahawan wanita dilahir bagi tempoh Januari 2010 sehingga 31 Ogos 2011.   Angka ini tidak mencapai 0.01 peratus jumlah wanita yang tiada bekerja di negara ini.
ii. Berdasarkan kenyataan Najib pada Jun 2010, jumlah isi rumah sebagai miskin tegas yang berdaftar di bawah sistem e-kasih telah berkurang daripada 50,931 kepada 33,417. Namun, berdasarkan laporan  Oriental Daily bertarikh Disember 2012, masih terdapat 53,034 isu rumah yang miskin tegar. Ini bermaksud jumlah isi rumah miskin tegar bertambah 58.7 peratus daripada 33,417 pada tahun 2010 kepada 53,034 pada tahun 2012.

5.Memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman
a.Hasil menurut laporan BN
i. 3,300km jalan telah dibina di luar bandar.
ii. Lebih 1.4 juta isi rumah di kawasan luar bandar telah mendapat bekalan air bersih.
iii. Lebih 470 ribu isi rumah di kawasan luar bandar kini telah mendapat akses elektrik.
iv. Sebanyak 53,000 unit rumah penduduk miskin luar bandar telah dibina dan dibaik pulih.    

b. Kegagalan
i. Berdasarkan Laporan Audit 2011, projek membina dan menaik taraf jalan luar bandar di negeri Sarawak bermasalah malahan terdapat juga projek yang disifatkan sebagai “projek sakit”. Sebanyak 101 projek bernilai RM437.57 juta yang disiapkan tidak memuaskan, manakala 38 projek (37.6%) bernilai RM178.94 juta mengalami kelewatan antara 15 hingga 242 hari daripada jadual asal.
ii. Sebanyak 13 projek sakit (17.6%) bernilai RM229.27 juta daripada 74 projek kerana kelewatan menepati 20% daripada jadual  yang ditetapkan.
iii. Laporan Ketua Audit Negara 2010 membangkitkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) membelanjakan RM770,000 untuk membekalkan tenaga elektrik kepada sebuah rumah di bawah Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di sebuah kampung di Indera Mahkota, Pahang.
iv. Laporan Ketua Audit Negara 2010 juga mendedahkan bahawa TNB meluluskan projek bernilai RM65,193 bagi membekalkan elektrik kepada lima buah rumah terbengkalai di sebuah kampung di Bera, Pahang.
v. Sehubungan itu, laporan berkenaan menilaikan prestasi projek BELB sebagai tidak memuaskan dengan hanya 43.2 peratus atau 16 daripada 37 projek yang disiapkan pada tahun lalu.

6. Menambah baik pengangkutan awam bandar
a.Hasil menurut laporan BN
i. Melancarkan operasi perkhidmatan set keretapi enam gerabak bagi perkhidmatan keretapi  komuter ktm.
ii. Pengenalan bas dalam bandar Go kl.
iii. Menaik taraf monorel
iv. Pembinaan Park & Ride Gombak.

b. Kegagalan
i. Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2011, Kementerian Pengangkutan terpaksa menanggung kos tambahan berjumlah RM3.6 bilion kerana kelewatan pembinaan projek landasan berkembar elektrik antara Ipoh ke Padang Besar sepanjang 329 kilometer (km).
ii. Prestasi kewangan RapidKL kurang memuaskan di mana syarikat mengalami kerugian berjumlah RM293.82 juta pada 2008 dan 2010, walaupun mencatat keuntungan pada 2009.
iii. Bilangan bas sedia guna berjumlah kurang daripada 50 peratus keseluruhan bas sebenar.  

7. Menangani kos sara hidup rakyat
a.Hasil menurut laporan BN
i. Penubuhan Kedai Rakyat 1Malaysia dan Kain 1Malaysia telah memastikan yang rakyat mempunyai akses kepada barangan dan kesihatan yang lebih mampu.
ii. Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (PPIR) negara meningkat kepada RM5,000 tahun lalu daripada hanya RM4,025 pada 2009,  peningkatan 1,200%.
iii. Kadar kemiskinan negara menurun daripada 3.8% pada 2009 kepada hanya 1.7% tahun 2012.
iv. Jumlah PNK per kapita negara telah meningkat kepada USD9,970 iaitu peningkatan sebanyak 4,000% dalam tempoh 5 dekad.
v. RM524 juta diperuntukkan untuk bantuan persekolahan
vi. Sebanyak RM97.5 juta diperuntukkan untuk Baucar Buku 1Malaysia (BB1M).
vii. BR1M telah memanfaatkan lebih 6 juta rakyat Malaysia atau sejumlah lebih RM2.34 juta daripada manfaat ini.
viii. 1,087 pekedai runcit terbabit dalam program TUKAR.
ix. BR1M menjadi inisiatif tahunan.         

b. Kegagalan
i. Dasar Gaji Minimun masih belum dapat dilaksanakan secara keseluruhan.
ii. Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia (Standards Users) mendapati sos cili yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) mendapati tahap raksa dan plumbum melebihi paras yang dibenarkan dalam Akta Peraturan-peraturan Makanan 1985.

Share on Myspace