Internet percuma 30 minit bukan kehendak rakyat

Salmiyah Harun | .

KUALA LUMPUR: Pemberian internet percuma untuk 30 minit pertama sebagaimana diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tidak mencapai apa yang dikehendaki rakyat.

Inisiatif yang diberikan kerajaan itu, jelas Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia Khairul Faizi Ahmad Kamil ianya terlalu jauh berbanding tawaran Buku Jingga Pakatan Rakyat yang menawarkan internet atau wifi secara percuma kepada seluruh rakyat negara ini.

"Setengah jam pertama tidak ada erti apa-apa hanya sekadar boleh buka internet sahaja. Setiap individu mengambil masa paling minima selama empat jam menghadap internet, selepas waktu kerja, ini tidak termasuk waktu siang. Setengah jam pertama terlalu sedikit," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau menambah, ramai sedia maklum rangkaian internet di luar bandar masih lagi tidak meluas malah masalah kelajuan internet hingga kini terus dipersoalkan.

"Macam mana hendak bagi percuma 30 minit pertama, nak buka internet d iluar bandar pun merangkak-rangkak, sudah tentu 30 minit pertama rugi macam tu sahaja. Kalau betul-betul hendak mendahulukan rakyat, bagilah betul-betul," katanya.

Khairul turut mempersoalkan kerajaan yang tiba-tiba sahaja mengumumkan insentif itu sedangkan sebelum ini Perdana Menteri sendiri mengatakan janji Pakatan Rakyat membanrupkan negara termasuk memberi wifi percuma.

"Perdana Menteri sendiri yang meniru janji Pakatan Rakyat, mengapa dia pula membuat perkara yang sama dengan janji Pakatan Rakyat. Kalau dia kata bankrup kenapa perlu laksana internet percuma," katanya.

Sebelum ini, Buku Jingga Pakatan Rakyat menawarkan wifi percuma kepada seluruh rakyat negara ini, tawaran itu mendapat keceman Umno BN yang mengatakan janji yang ditawarkan itu boleh membankrapkan negara.

Semalam, Najib Tun Razak hari ini mengumumkan perkhidmatan Internet percuma bagi setengah jam pertama kepada warga miskin di bandar dan luar bandar.

Butiran lengkap mengenai perkara itu akan disediakan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Share on Myspace