KUALA LUMPUR: Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menafikan pertubuhan itu mendapat sumbangan kewangan dari Umno tetapi tidak menolak menerima bantuan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Menerima bantuan kewangan dari Jakim dan sebagainya sebagai sebuah NGO bukan seerti dengan suapan Umno," kata Dr Nizam Zakaria, pemimpin dan aktivis Isma.

Beliau berkata demikian ketika membuat ulasan kepada tulisan Mohd Sayuti Omar dan disiarkan Sayuti dalam tulisan terbaru dalam blognya, msomelayu.blogspot.com.

Dalam ulasan itu, Nizam mengaku "saya seorang ahli Isma dan terpanggil untuk menjawab apa yang penulis lakarkan dalam entry ini."

Isma sebelum ini memaklumkan akan bertanding dalam 20 kerusi dalam pilihan raya ini atas tiket Berjasa, sebuah parti serpihan PAS yang sebelum ini sudah senyap kerana semua pimpinannya sudah menyertai PAS semula.

Presidennya, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman mengumumkan bahawa Isma bercadang untuk menghantar calon-calonnya bertanding di 20 buah kawasan Parlimen dan DUN dalam PRU13 nanti.

Dalam sidang media tersebut, Abdullah mengumumkan kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti untuk calon-calon Isma tandingi iaitu Padang Serai (P017), Tapah (P072), Wangsa Maju (P116), Selayang (P097), Subang (P107), Puchong (P103), Kapar (P109), Seremban (P128), Tanjung Piai (P165), Derga (N11) dan Gurun (N22).

Berdasarkan PRU12 yang lepas, kerusi-kerusi di atas merupakan kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu namun ditandingi dan dimenangi oleh calon-calon bukan Melayu.

Isma dipercayai akan memecahkan undi di kawasan-kawasan berkenaan untuk mereka yang taksub dengan kempen nasionalis Melayu oleh Umno sekarang ini.

Share on Myspace