Miliki IC merah pun teroka tanah kerajaan

Aslani M | .

KUALA KRAI: Beberapa peneroka yang mendakwa kononnya kerajaan negeri merampas tanah mereka didapati bukan penduduk tempatan, malah ada juga hanya memiliki kad pengenalan merah.

 

Sebahagian besar lagi tidak pernah memiliki tanah di Kampung Senduk dan Serasa dekat Dabong.

 

Adun Dabong, Arifabillah Ibrahim (gambar) berkata, penduduk yang benar-benar pernah mengusahakan tanah di kawasan itu hanya 36 orang dan bukan 200 seperti didedah akhbar harian baru-baru ini.

 

Katanya, penduduk yang telah membayar deposit tanah tersebut dikeluarkan daripada kawasan pembangunan ladang yang dibangunkan sebuah agensi kerajaan dengan kerjasama syarikat swasta.

 

“Kita pun hairan bagaimana ada penduduk mendakwa tanah mereka dirampas kerajaan negeri. Apa yang berlaku selepas syarikat masuk ada pula pihak datang menanam pokok buah-buahan.

 

“Sebelum ini memang tidak ada tanaman milik peneroka di kawasan yang sedang dibangunkan dengan tanaman kelapa sawit.

 

“Hanya setelah syarikat masuk membuat kerja-kerja tanah ada peneroka mulai menanam pokok untuk membolehkan mereka menuntut pampasan,” katanya di sini.

 

Sebuah akhbar baru-baru ini mendakwa 200 penduduk berhimpun bagi membantah tanah yang didakwa diusahakan mereka sejak 30 tahun lalu, dirampas kerajaan negeri.

 

Sebahagian yang hadir pada perhimpunan itu memakai baju NGO tajaan Umno, Gerakan Tukar Kerajaan Pas Kelantan Demi (Tukar).

 

Arifabillah berkata, perundingan dengan 36 penduduk yang benar-benar terbabit sudah diadakan sejak 2010 dan terbaru pada awal tahun ini.

 

Menurutnya perjumpaan itu diadakan di Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai beberapa kali bagi memastikan hak peneroka yang benar-benar mengusahakan tanah terbela.

 

Oleh itu beliau menegaskan dakwaan kerajaan negeri merampas tanah rakyat di Kampung Senduk dan Serasa adalah tidak berasas kerana kesemua tanah yang sudah ada deposit dikeluarkan daripada kawasan pembangunan ladang.

 

“Saya juga berharap agensi penguatkuasa kerajaan pusat termasuk Imigresen menyiasat ada warga asing yang meneroka tanah kerajaan di kawasan hulu,” katanya.

Share on Myspace