STPM 2012: Pemuda PAS ucap tahniah

Harakahdaily | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah kepada semua calon yang telah mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 yang diumumkan semalam.

 

Pencapaian calon meningkat secara keseluruhan dengan peningkatan Purata Nilai Gred keseluruhan (PNGK) daripada 2.22 kepada 2.24. Kira-kira 47,884 atau 92.67 peratus calon STPM 2012 telah memperoleh keputusan penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran, bebranding 46,705 atau 92.19 peratus calon tahun lalu.

 

Jumlah calon mendapat PNGK 4.00 juga meningkat seramai 142 daripada 300 menjadi 442 kali ini, manakala 18 calon memperoleh keputusan cemerlang gred A dalam lima mata pelajaran diambil, berbanding 12 calon pada 2011.

 

“DPPM merasa bangga dengan pencapaian pelajar yang menunjukkan peningkatan prestasi cemerlang secara keseluruhannya,” kata Ketuanya, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan.

 

Beliau berkata, DPPM percaya kesemua ini berpunca dari sikap pelajar yang berusaha bersungguh-sungguh dan membuat persediaan rapi bagi menghadapi peperiksaan STPM.

 

Katanya, berkat dorongan guru dan doa ibu bapa juga menjadi pemangkin kejayaan pelajar tersebut.

 

Beliau menambah, kejayaan mereka menjadi bukti bahawa tidak ada yang mustahil untuk dicapai dalam kehidupan dan kejayaan boleh diraih oleh mereka sabar, tawakkal dan istiqomah.

 

Justeru, kata beliau DPPM mendoakan semua calon yang berjaya agar dapat menempatkan diri dalam institusi pendidikan tinggi terbaik di negara ini dan di luar negara.

 

“Jadikan keputusan ini sebagai pendorong untuk mencapai cita-cita mereka di kemudian hari,” ujarnya.

 

Mereka, kata beliau adalah harapan umat dan dari mereka lahirnya kepimpinan negara di masa hadapan.

Share on Myspace