IPOH: Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak hari ini mendedahkan agenda jahat pihak tertentu dalam menghadapi PRU13 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Koordinatornya, Salman Saleh berkata, pihaknya mendapat banyak maklumat tentang kontena diseluruh negeri Perak yang membawa risalah berbaur fitnah.

Menurutnya, puluhan ribu risalah fitnah itu sudah siap dicetak dan dipercayai akan diedarkan kepada masyarakat pada pilihanraya nanti setelah mendapat arahan.

Katanya, risalah fitnah dalam bentuk buku kecil bertajuk “Drama Pecah Panggung; Box Office” itu ternyata merbahaya kerana ianya terkandung pelbagai fitnah yang bersifat perkauman dan penipuan.

Jelas Salman, risalah tersebut dianggap haram kerana tidak mempunyai terbitan daripada mana-mana pihak.

“Kami mengesyaki risalah tersebut dikeluarkan oleh pihak pro Umno-BN kerana ianya diedarkan bersama satu risalah berbentuk buku bertajuk ‘Mengorak Negara Ke Hadapan” yang tertera dibelakang buku itu cetakan oleh Ibu Pejabat Barisan Nasional,” katanya dalam satu sidang media di Pejabat PAS Perak, dekat sini hari ini.

Hadir sama ialah ahli jawatankuasanya, Salman Saleh, Hafez Sabri dan Safarizal Saleh.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Setiausaha Jabatan Pilihanraya PAS Perak mendesak Kementerian Dalam Negeri dan pihak Polis merampas risalah haram itu kerana ianya bercanggah dengan undang-undang negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga katanya turut harus mengambil tindakan sewajarnya agar risalah tersebut tidak diedarkan dalam pilihanraya nanti.

“Kami desak pihak bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya kerana cara kotor serta jijik ini menyalahi undang-undang dan akan memecah belahkan masyarakat di Negara ini,” tegasnya lagi.

Share on Myspace