MARANG: Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang telah melancarkan sebuah kenderaan khas pacuan empat roda jenis Toyota Landcruiser 4x4 yang akan digunakan sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

 

Pelancaran kenderaan tersebut dirasmikan oleh Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah pada majlis Ceramah Penerangan Isu-isu Terkini di Markaz Pemuda Unit Peti Undi (UPU) Tebakang, Kampung Pak Madah, Dewan Undangan Negeri (Dun) Alor Limbat, semalam. (Gambar atas)

 

Kenderaan khas berwarna hijau muda itu akan digunakan mulai sekarang hingga PRU13.

 

Ketua Pemuda PAS Marang, Ustaz Mohammad Khalil Abdul Hadi berkata pelancaraan kenderaan khas itu merupakan inisiatif kalangan Pemuda PAS kawasan.

 

Ini, katanya membuktikan jentera Pemuda PAS Marang bersungguh-sungguh dalam gerak kerja bagi mempastikan keempat-empat Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam Parlimen Marang kembali kepada PAS.

 

“Kami akan pastikan Parlimen Marang kekal di tangan PAS dan empat Dun iaitu Rhu Rendang, Pengkalan Berangan, Bukit Payong dan Alor Limbat ini boleh kita tawan, insya Allah,” ujarnya.

 

Hadir sama pada majlis pelancaran tersebut Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Timbalan DHPP Terengganu, Jefri Chua.

Share on Myspace