Nik Aziz syukur Kelantan catat STPM terbaik

Harakahdaily | .

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merakamkan syukur yang tidak terhingga ekoran kejayaan negeri itu melakar sejarah terbaik dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 yang diumum semalam.

Dalam keputusan yang diumumkan Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang semalam, 12 calon dari negeri itu mendapat A dengan Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dalam semua mata pelajaran yang diambil, berbanding hanya empat orang tahun sebelumnya iaitu menyaksikan peningkatan tiga kali ganda.

"Tahniah saya rakamkan, semoga kejayaan hari ini akan menjadi motivasi untuk terus maju di masa hadapan.

"Tidak lupa kepada semua calon-calon STPM yang menerima keputusan semalam, panjatkanlah syukur dengan kejayaan yang cemerlang dan teruskan usaha jika keputusan sebaliknya," katanya melalui Facebook.

Tuan Guru yang juga Musryidul Am PAS berkata, apa yang penting ialah, kecemerlangan dalam hidup perlu diteruskan.

"Kejayaan yang hakiki ialah apabila kita berjaya memanfaatkan diri kita untuk kebaikan orang lain, dan yang paling bermaka jika kejayaan itu diiringi pula dengan kejayaan di akhirat, Insya-allah," katanya.

 

Share on Myspace