Adly pertahan kenyataan, jumpa di mahkamah

Harakahdaily | .

MELAKA: Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari menegaskan bahawa beliau bersedia ke mahkamah dan mempertahankan kenyataannya sebelum ini berhubung dakwaan penyalahgunaan wang zakat oleh Kerajaan Negeri Melaka.

Menurut Adly beliau juga tidak berhasrat memohon maaf atau menarik balik pendedahannya sebelum ini biarpun berdepan saman.

"Saya tidak melihat sebarang keperluan untuk saya meminta maaf atau menarik balik sebarang kenyataan berhubung dengan isu ini.

"Saya akan terus membongkar segala salah urus kerajaan yang dipimpin Umno BN supaya ianya dapat dinilai oleh rakyat Negeri Melaka," tegas Adly yang dihubungi Harakahdaily.

Pada 13 Mac lalu Adly telah menerima notis tuntutan daripada firma guaman Rosfinah & Co yang mewakili Kerajaan Negeri Melaka dan Najlis Agama Islam Melaka (Maim) berhubung satu kenyataannya pada 2011 berkaitan dakwaan penyalahgunaan wang zakat.

Sebelum ini Adly yang merujuk Laporan Audit 2010 pernah mendedahkan, sejumlah RM13.5 juta wang zakat telah digunakan bagi projek membina bangunan Maim di tapak bersebelahan Masjid Negeri.

Menurutnya, pada asalnya projek pembinaan bangunan Maim itu telah diberikan kepada sebuah syarikat kontraktor dengan konsep 'timbal balas'.

Difahamkan dalam satu perjanjian, kerajaan negeri telah bersetuju 'membayar' kepada kontraktor tersebut dengan tukaran sebidang tanah hak milik Maim.

Bagaimanapun katanya, syarikat kontraktor tersebut tidak membuat projek tersebut namun tanah yang dijanjikan telah diberikan kepada syarikat itu.

Ekoran itu, Maim didakwa menggunakan wang zakat bagi membina semula bangunan mereka yang gagal dibuat syarikat kontraktor terbabit.

Perkara itu juga telah dibawa oleh PAS Melaka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2011 lalu.

Sementara itu, dalam notis saman yang dikeluarkan, mereka menuntut penarikan balik kenyataan, permohonan maaf serta bayaran RM1 juta dalam tempoh 14 hari yang berakhir hari ini.

Mereka menuntut dari tiga pihak iaitu Adly, Ketua Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil Jauhar Mohamad Dawi dan Ketua Pegawai Operasi Harakahdaily, Mohd Mokhtar Ruzaidi.

Mengulas lanjut, Adly berkata beliau juga tidak akan membuat sebarang bayaran ke atas tuntutan tersebut malah bersedia untuk berdepan di mahkamah.

"Saya juga ingin tegaskan bahawa isu yang saya bangkitkan adalah isu kepentingan ramai yang menyentuh tentang bagaimana dana awam telah disalahurus sepertimana yang dinyatakan di dalam Laporan Ketua Audit Negara sendiri."tambah beliau

"Saya cukup berkeyakinan bahawa writ saman ini dikeluarkan menjelang tibanya pilihanraya umum yang ke 13, tidak lain bagi menyekat kemaraan dan pengaruh PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat di negeri Melaka ini," katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan telah melantik firma Tetuan Mohamed Hanipa & Associates bagi mewakilinya di mahkamah nanti.

 

Share on Myspace