Realitinya pegawai tinggi kerajaan tolak Umno BN

Harakahdaily | .

KUALA LUMPUR: Mentaliti rendah dengan menganggap pihak lain sama seperti mereka menyebabkan pemimpin Umno terkurung dalam dogma lapuk, kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor.

 

 

Justeru, katanya Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan menjadi semakin tidak rasional apabila menuduh beberapa bekas pegawai tinggi kerajaan menyokong parti pembangkang, berkemungkinan sebagai jalan pintas untuk mereka menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang.

 

“Apakah beliau berfikir semua pegawai tinggi sama seperti beliau, masuk parti politik hanya semata-mata untuk bertanding dan merebut jawatan?

 

“Inilah mentaliti Ketua Penerangan Umno yang menjadi tunjang dalam kerajaan,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

 

Katanya, Ahmad tidak mengerti amalan demokrasi seperti negara ini kerana parti politik yang berdaftar bukan sebuah pertubuhan haram.

 

Jelasnya, PAS dan lain-lain parti adalah parti yang sah dan berdaftar secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan.

 

Beliau menambah, sebagai parti politik mereka berhak mengkaderkan mana-mana individu atau kumpulan menyertainya.

 

Justeru, ujarnya terpulang kepada rakyat, daripada pelbagai lapisan peringkat, untuk menyertai parti tersebut atau tidak.

 

Katanya lagi, keyakinan rakyat menyertai sesebuah parti politik diukur daripada sejauh mana prestasi parti tersebut.

 

“Amat mengkagumkan dalam keadaan PAS dan PR dituduh sebagai parti songsang, parti ajaran sesat, parti pemecah belah masyarakat, di samping kempen negatif oleh media rasmi kerajaan, berduyun-duyun masyarakat menyertai PAS dan Pakatan Rakyat.

 

“Yang menyertai PR bukan setakat rakyat biasa, bahkan bekas-bekas pegawai tinggi kerajaan, para intelektual, akademis, cendikiawan, golongan korporat sehingga kepada golongan selebriti,” katanya.

 

Yang menghairankan pula, ujarnya dalam keadaan BN sebagai parti yang memerintah, dibantu pula oleh kempen propaganda oleh media utama siang dan malam, gagal pula menarik minat bekas pegawai kerajaan menyertai mereka.

 

“Mengapa Datuk Ahmad Maslan begitu marah dengan penyertaan bekas pegawai tinggi kerajaan dalam PR sedangkan partinya gagal meraih sokongan golongan yang sama?

 

Baginya, tuduhan Ahmad bererti menghina golongan elit dalam PR, juga menghina hak rakyat yang bebas memilih parti politik pilihan mereka.

 

“Realitinya yang beliau perlu sedari bahawa parti beliau bukan lagi menjadi harapan rakyat,” ujarnya.

 

Katanya, BN sudah sampai tamat tempohnya dan perlu diganti dan kini rakyat sudah menemui penggantinya bersama PR.

Share on Myspace