KUALA LUMPUR: Jelajah penerangan anjuran Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) yang diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) malam tadi menyaksikan lapan mahasiswa ditahan oleh polis bantuan kampus itu.

Antara mereka yang ditahan termasuklah Pengerusi Aksi Mahasiswa PeduliEkhsan Bukhairy dan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia Safwan Anang.

Kira-kira jam 9.15 malam tadi, sekumpulan mahasiswa GM13 berkumpul di Dataran Cendekia UiTM untuk program 'Speaker's Corner' bagaimanapun mendapat halangan daripada pihak polis bantuan dan segelintir mahasiswa lain.

Mereka cuba berunding bagaimanapun mereka kemudiannya ditangkap.

Kelapan-lapan mahasiswa dibebaskan sejam kemudian, namun mereka meneruskan aktiviti itu di luar pagar UiTM selama setengah jam.

Menurut salah seorang mahasiswa yang ditahan malam tadi, Ekhsan kesal dengan insiden yang terjadi kepadanya hanya kerana mahu bercakap soal polisi pengajian tinggi kepada mahasiswa-mahasiswa seangkatan dengannya.

"Kita hendak bercakap soal polisi pendidikan tinggi, mengenai teras utama pendidikan. Bukannya hendak bercakap soal turunkan bendera, turunkan Najib, rasuah, PI Bala dan langsung tidak mahu bercakap soal sentimen.

"Tetapi kami bagi idea untuk diperkenalkan kepada mahasiswa, tidak lebih daripada itu. Itu pun kami kena tahan," tegasnya kepada Harakahdaily.

Beliau agak terkejut apabila diberitahu oleh pihak keselamatan UiTM apabila mereka mengakui bahawa demokrasi di universiti itu sudah mati.

Katanya, jika pihak universiti menyambut mereka dengan hujah dan ide ia tidak akan mengundang masalah.

"Malangnya selama ini kita menjemput MPP Pro Aspirasi untuk berhujah mereka tidak berani untuk berdebat.

"UiTM, UPSI kita akui memang tidak boleh masuk, cara yang paling berkesan untuk mendekati mahasiswa di universiti ini melalui 'speaker'z corner'. Hendak edar risalah pun tidak boleh! Universiti apa ni?," jelas beliau.

Sementara itu, Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) merangkap Pengerusi GM13, saudara Syis Abdul Kadir menyatakan rasa kesal dengan apa yang berlaku.

“Di UiTM Hak kebebasan mahasiswa disekat bahkan ada yang ditangkap polis bantuan kerana ingin mengadakan speaker's corner. Lebih malang bila mana ucapan dan hujah mahasiswa dibalas dengan kata-kata kesat, maki hamun dan ugutan oleh segelintir manusia yang mengaku ingin menjaga kedaulatan UiTM”, ujar beliau kesal.

Sambil menyifatkan provokasi seperti ini adalah di luar jangkaan serta tidak sepatutnya berlaku, Syis menegaskan bahawa GM13 tetap komited untuk memberi penerangan kepada mahasiswa berkenaan agenda yang dibawa.

“GM13 akan meneruskan siri roadshow 'speaker's corner' ke kampus-kampus untuk memberi pencerahan serta berkongsi harapan perubahan dengan mahasiswa seluruhnya.

 

Share on Myspace