Lahad Datu serlah Najib gagal sebagai PM

Muhammad Faizal | .

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Datuk Seri Najib Razak hilang kelayakan sebagai Perdana Menteri apabila gagal mengambil pendekatan segera berhubung konflik pencerobohan di Lahad Datu.

Justeru, baginya Najib tidak layak bertanding pada Pilihan raya Umum ke-13 nanti kerana tiada keyakinan untuk membuat keputusan dalam konflik tersebut.

"Isu Lahad Datu, saya melihat kegagalan Najib sebagai Perdana Menteri untuk mengambil langkah dan tindakan segera, malah beliau tidak melihat perkara tersebut sebagai suatu yang serius apabila menyerahkan segala tanggungjawab kepada orang lain," jelasnya kepada Harakahdaily.

Mahfuz turut menyifatkan tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk membentangkan kertas putih sebagai sudah terlambat.

"Untuk membentang kertas putih itu sudah terlambat, ia sepatutnya dilakukan dari awal pencerobohan lagi.

"Perkara ini sudah lama berlaku dan telah ramai anggota keselamatan terkorban, rakyat pun sudah lama menanti dan juga ingin mengetahui tetapi rakyat kecewa apabila tiada penjelasan dilakukan sebelum ini," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Share on Myspace