Kalau tukar kerajaan Islam tunggulah pembalasan – Dr Asri

Aslani M | .

KOTA BHARU: “Kalau kita tukar kerajaan Islam kepada yang lebih teruk, tunggulah pembalasan di akhirat kelak,” kata mantan Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Asri Zainal Abidin.

 

Beliau berkata, rakyat semestinya mengekalkan kerajaan yang ada di Kelantan sekarang.

 

“Sepatutnya Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) turut sama mempertahankan Kelantan,” katanya pada Wacana Perdana bertajuk ‘Pasca PRU13: Di Mana Melayu Islam?’ di Dewan Jubli Perak MPKB di sini kelmarin.

 

Wacana itu turut menampilkan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha ISMA, Mohd Hazizi Abdul Rahman, manakala seorang lagi penalis, Datuk Shamsul Najmi sebagai mewakili Umno tidak hadir.

 

Prof Madya Datuk Dr Mohamad Agus Yusof bertindak sebagai moderator. Orang ramai memenuhi segenap ruang dewan berkenaan.

 

Ramai lagi mengikuti wacana itu di atas padang di luar dewan. Hadir sama pengarah program, Ahmad Baihaki Atiqullah.

 

Dr Asri juga berkata, PAS bergerak seiring dengan pertubuhan Islam di seluruh dunia yang semakin mendapat tempat selepas kebangkitan Arab.

 

Tuan Ibrahim pula menyifatkan ISMA sebagai kacau daun apabila bercadang meletak calon di kawasan tertentu pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

 

Katanya, kalau sekadar hendak tanding tujuh kerusi parlimen sudah tentu ISMA tidak mampu menjadi sebuah parti yang dominan.

 

Mohd Hazizi sebelum itu menyifatkan kuasa tawar menawar orang Melayu sekarang semakin lemah selepas PRU 2008.

 

“Sekiranya situasi itu terus kekal kuasa politik orang Melayu akan bertambah lemah. Ini kerana hanya apabila ada kuasa barulah boleh buat peraturan untuk Islam,” ujarnya.

 

Namun hujah itu ditolak Tuan Ibrahim apabila menyebut pada PRU 2004 kerusi yang dimenangi calon Islam sebanyak 123 kerusi, namun telah bertambah kepada 130 kerusi pada PRU 2008.

 

Bagaimanapun kata beliau ada pihak cuba mengelirukan keadaan sebenar apabila DAP menang lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum lalu.

 

“Kalau disebut DAP ramai orang seolah-olah nampak macam Cina sangat, sedangkan MCA dan Gerakan mereka tidak lihat macam parti Cina pula,” tambahnya.

Share on Myspace