Mampat ajak rakyat Terengganu tuntut royalti

Khairul Azlam Mohamad | .

Tengku Ibrahim menyediakan makanan minum petang kepada wakil media.


KUALA TERENGGANU: Penaung Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Tengku Ibrahim Sultan Ismail mengajak seluruh rakyat Terengganu agar turun pada Perhimpunan Jom Bersama Tuntut Royalti Kita, Pulangkan Royalti pada 20 Mac ini di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Katanya, pada perhimpunan tersebut satu memorandum bersama dengan tandatangan rakyat Terengganu akan diserahkan kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Menurutnya, memorandum tersebut bagi menuntut penjelasan ke atas penarikan balik saman royalti terhadap Petronas dan kerajaan Persekutuan yang genap setahun.

Malah, beliau turut menyifatkan tindakan MB Terengganu itu merupakan satu kesilapan besar yang dibuat tanpa perbincangan dengan Exco Kerajaan Negeri sendiri.


“Saya percaya Menteri Besar telah membuat satu kesilapan yang besar iaitu menarik balik saman royalti minyak ini,” jelas beliau pada satu sidang media di kediamannya, Batu Burok, dekat sini, hari ini.

Menurutnya, isu penafian hak royalti petroleum dan gas Terengganu itu berlaku sejak tahun 2000 lagi ketika negeri di bawah pemerintahan kerajaan PAS.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanggol menyifatkan royalti sebagai isu besar rakyat Terengganu yang belum selesai.

“Sekarang kes (saman) ini telah ditarik balik tetapi penyelesaiannya tidak ada apa-apa secara hitam-putih antara Ahmad Said (MB Terengganu) dengan pihak Petronas dan Kerajaan Persekutuan.

“Apakah terma-terma yang dipersetujui secara bersama hingga saman itu ditarik balik oleh kerajaan negeri sedangkan, hutang (kerajaan pusat kepada negeri) masih banyak hingga mencecah berbilion atau ribu juta,” dakwanya.

Share on Myspace