Adik PM Malaysia Mungkir Janji - Nube

Mohd Nor Yahya | .

 

KOTA BHARU: CIMB melanggar Rukun Negara dengan mengenepikan hak penggantungan gambar Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong di semua cawangan bank itu dengan alasan menjimatkan kos.

 

Selain itu CIMB mengkhianati tanggungjawab sosial korporat dengan mengenepikan 27 aduan pekerja yang belum dapat diselesaikan.

 

Bank yang dimiliki adik Perdana Menteri, Datuk Nazir Razak juga didakwa melanggar hak pekerja dengan memecat, menindas mereka semata-mata kerana kakitangan mempersoalkan penyalahgunaan dana.

 

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (Nube), J Solomon berkata, ada kakitangan ditengking, dimarahi dan diugut.

 

“Sedangkan kakitangan terbabit dalam keadaan hamil menyebabkan dia jatuh pengsan kerana dimarahi tanpa mengambil keadaan kesihatannya,” katanya di sini.

 

Sabtu lalu lebih 300 ahli Nube dari seluruh bank di Kelantan berpiket di perkarangan CIMB di sini. (Gambar atas)

 

Pelbagai sepanduk dipamer mereka, antara bertulis “Ketua HR CIMB Hamidah Hina Union”, “Adik PM Malaysia Mungkir Janji”, “Darah Pekerja Diperah, Belanja Golf RM18.7 juta” dan banyak lagi.

 

J Solomon berkata, sebab lain piket diadakan kerana pihak pengurusan CIMB terlalu bermewah dengan membelanjakan RM18.7 juta untuk penganjuran golf dan RM2.5 juta lagi bagi melatih 128 pemain golf junior.

 

Katanya juga, Nube melancarkan kempen menjelajah di seluruh negara bermula Disember 2012 bagi mendedahkan kepincangan pengurusan tertinggi bank berkenaan.

 

“Piket diadakan secara aman dan akan diteruskan ke negeri lain termasuk Terengganu dan akan tamatkan di Selangor minggu hadapan,” ujarnya.

Share on Myspace