KUALA LUMPUR: Dalam Ulamak PAS Pusat menyifatkan gesaan Menteri Besar Terengganu agar Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mengambil tindakan terhadap imam yang menjadi penceramah kepada parti pembangkang sebagai tidak wajar.

Setiausahanya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tindakan itu hanya menunjukkan kedangkalan pemikiran pemimpin Umno khususnya Datuk Seri Ahmad Said yang memisahkan antara agama dan politik.

"Kalaulah ini menjadi matlamatnya, maka jelas bahawa kurangnya kefahaman yang sepatutnya ada pada seorang pemimpin negeri.

"Alangkah baiknya jikalau seorang yang bergelar Menteri Besar menyatakan tindakan akan diambil terhadap imam jika ucapannya menyalahi hukum syarak dan tidak membetuli hukum hakam Islam," katanya kepada Harakahdaily.

Ahmad Said hari ini dilaporkan mengarahkan Maidam mengambil tindakan terhadap imam yang berceramah mewakili pembangkang.

Katanya, perbuatan itu tidak sepatutnya berlaku kerana imam terbabit bertugas dengan kerajaan, dibayar gaji oelh kerajaan dan sepatutnya mengikut dasar kerajaan negeri.

Mengulas lanjut Khairuddin berkata, apa yang peliknya, setiap kali imam-imam dihimpunkan oleh kerajaan, tanpa segan silu boleh pula Umno BN menyuapkan dakyah kepartian kepada imam-imam tersebut.

"Jangan jadikan imam dan pendakwah yang bersifat “Amfusana Amfusuni” sehingga hilangnya “Haibah” seorang ulama," katanya.

Menurut beliau lagi, sejarah Islam pernah menukilkan bagaimana al-Hasan al-Basri seorang penasihat yang berani menyatakan kebenaran berdepan pemimpin yang zalim.

Sejarah Terengganu pula menunjukkan keberanian Tok Ku Paloh berdepan dengan penjajah Inggeris, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong dan ramai lagi.

Perjuagan Islam katanya ibarat air bah yang besar, jika disekat dengan benteng yang kukuh sekalipun, sudah pasti ia merempuhnya dan memecahkan benteng tersebut bagi meneruskan perjalanan aliran air itu mengikut ketentuan Ilahi.

"Sepatutnya pemimpin perlu menegakkan kebenaran bukan hanya mengisi tembolok dan perut mereka untuk menyelamatkan kerusi yang mereka pegang semata-mata sehingga sanggup mengadaikan agama.

"Sementelahan lagi dengan hampirnya PRU13, jelas nampak betapa gelabahnya pemimpin Umno untuk mempertahankan saki baki kuasa yang akan hilang," tegasnya.

Share on Myspace