SPR dicadang kira undi awal selepas mengundi

| .

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dicadang agar membuat kiraan undi tentera sebaik sahaja selesai pengundian bukannya tiga hari selepas itu.

Penyelaras PAS untuk Dun Seberang Takir, Kuala Nerus yang mempunyai 1600 pengundi tentera, Zakaria Dagang (gambar) berkata, beliau bimbang apa-apa berlaku selepas tiga hari kotak undi itu disimpan.

Menurut peraturan yang ada, kotak undi awal yang digunakan untuk menyimpan undi tentera hanya akan dibuka pada petang hari mengundi sedangkan pengundian mereka dibuat tiga hari sebelum pengundian umum yang lain.

"Kita tidak mahu apa-apa berlaku ke atas kotak itu selama tiga hari ianya disimpan. Oleh itu, bagi saya cara yang terbaik adalah kertas undi itu dikira sebaik sahaja pengundian awal selesai.

"Keputusan akan disimpan oleh pihak-pihak yang bertanding sehinggalah hari mengundi untuk yang lain-lain tiba," kata Zakaria.

Bagi beliau, soal kerahsian keputusan tidak menjadi isu kerana isu yang lebih penting di sini adalah isu ketelusan.

Menurut peraturan baru SPR sekarang, para anggota tentera, polis dan wartawan yang bertugas boleh membuat undi awal iaitu tiga hari sebelum hari mengundi yang lain.

Pengundian ini akan dibuat dalam kes tentera dan polis yang bertugas dan wakil-wakil parti yang bertanding boleh menjadi pemerhati proses pengundian ini.

Namun yang menjadi isu adalah kotak undi ini hanya dibuka pada pusat penjumlahan undi iaitu tiga hari selepas undian awal ini berjalan.

Share on Myspace