Malam Seni: 5,000 hadir walaupun padang becak

Salmiyah Harun | .

Ustaz Azhar menjawab soalan hadirin di pentas Malam Seni Untuk Perubahan.

 

KUALA LUMPUR: Malam Seni Untuk Perubahan yang berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru menyaksikan lebih 5,000 orang ramai memenuhi padang kelab ini walaupun keadaan becak.

 

Program malam seni ini membariskan penampilan khas pendakwah bebas yang sedang hangat pada masa ini, Ustaz Azhar Idrus dengan slot soal jawabnya.

Orang ramai mula memenuhi padang seawal jam 8.00 malam untuk bersama-sama barisan artis dan mendengar  soal jawab daripada Ustaz Azhar.

Pelbagai soalan yang diajukan orang ramai kepada Ustaz Azhar termasuklah soalan berkaitan PTPTN, demonstrasi dan PRU13.

Soalan tersebut adalah "apa hukum negara yang bagi pinjaman PTPTN pada pelajar kemudian pelajar berdemonstrasi minta hapuskan PTPTN".

Ustaz Azhar secara spontan menjawab, "kalau negara tu kaya kenalah bagi pendidikan percuma kepada pelajar. Cuba tengok menara KLCC tu, menara jagung dua butir, negara miskin mana ada tu...".

Penampilan istimewa pada malam ini antaranya Yassin Brothers, Ito Blues Gang, Aisyah, dan Hairie Othman dan lain-lain barisan artis dan pelukis yang telah berhijrah memilih Pakatan Rakyat.

Para barisan pimpinan Pakatan Rakyat turut bersama-sama dalam program malam seni ini menyatakan sokongan padu kepada artis yang mahukan perubahan.

Antara barisan pimpinan itu Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu di samping Dr Syed Azman, Dr Muhaimin Sulam, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said, Pyan Habib dan aktivis Hishamuddin Rais.

Share on Myspace