Rakyat Kelantan kena kelentong lagi

Harakahdaily | .

KUALA LUMPUR: Bagaimana rakyat Kelantan hendak mempercayai UMNO sedangkan UMNOlah yang membohongi rakyat Kelantan terang-terangan, tulis Aspan Alias.

 

Menurutnya, janji Kerajaan Persekutuan melalui Petronas untuk mengotakan perjanjian Vestine pada bulan Mei 1975 tidak langsung ditepati sehinggakan rakyat Kelantan dinafikan punca kewangan untuk membangunkan negeri itu.

 

“Kalaulah perjanjian itu ditepati Kelantan merupakan negeri yang paling kaya, malahan lebih kaya dari banyak negeri-negeri di Semenanjung yang lain,” ulasnya lagi.

 

Malangnya, kata beliau rakyat Kelantan mempunyai pemimpin dari UMNO yang berkait rapat dengan pimpinan UMNO, tetapi mereka memilih untuk menyebelahi pimpinan Persekutuan untuk menghimpit rakyat Kelantan.

 

Tulisan penuh beliau sebagaimana di bawah.

 

Najib ke Kelantan lagi semalam dan masih cuba untuk mengelentong rakyat di Negeri yang telah persendakan oleh Najib selama ini. Seperti dalam pilihanraya-pilihanraya yang lalu UMNO berjanji dan berjanji sampaikan tidak ada lagi janji yang tidak dibuatnya. Bagi orang Kelantan elok mereka (orang Kelantan) meminta Najib membuka mulutnya lebar-lebar untuk rakyat Kelantan melihat apakah jenis lidah yang ada di dalam mulut Najib, Mahathir dan kepimpinan UMNO yang besar-besar itu.

 

Bagaimana rakyat Kelantan hendak mempercayai UMNO sedangkan UMNO lah yang membohongi rakyat Kelantan terang-terangan. Janji Kerajaan Persekutuan melalui Petronas untuk mengotakan perjanjian Vestine pada bulan Mei 1975 tidak langsung ditepati sehinggakan rakyat Kelantan dinafikan punca kewangan untuk membangunkan negeri itu.

 

Perjanjian itu sudah dimeterai hampir 40 tahun dahulu tetapi sehingga hari ini kerajaan Persekutuan masih melakukan rampasan wang dan harta rakyat Kelantan yang berjumlah lebih dari RM7 billion itu. Dalam perjanjian itu telah termeterai yang rakyat Kelantan berhak mendapatkan 5 peratus dari minyak yang dijumpai dan di keluarkan sama ada dalam persisiran atau di luar persisiran negeri Kelantan mengikut harga FOB. Pembayarannya pula dibuat dua kali setahun secara tunai kepada kerajaan pilihan rakyat Kelantan pada 1hb Mac dan 1hb September setiap tahun.

 

Perlu diingat perjanjian ini dimeterai di antara Petronas yang diwakili oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan Menteri Besar Kelantan semasa itu, Dato Mohammad Nasir dari PAS. Tunggakkan pembayaran itu bukan nya kecil tetapi melebihi RM7 billion sekarang ini. Janji yang satu ini pun tidak ditunaikan sekarang Najib datang dan mundar mandir ke Kelantan memberikan janji-janji lagi. Janji-janji BN kepada rakyat Kelantan adalah janji-janji yang tidak ditepati.

 

Kalaulah perjanjian itu ditepati Kelantan merupakan negeri yang paling kaya, malahan lebih kaya dari banyak negeri-negeri di Semenanjung yang lain. Malangnya rakyat Kelantan mempunyai pemimpin dari UMNO yang berkait rapat dengan pimpinan UMNO, tetapi mereka memilih untuk menyebelahi pimpinan Persekutuan untuk menghimpit rakyat Kelantan.

 

Selain dari Tengku Razaleigh Hamzah, semua pimpinan UMNO Kelantan memihak kepada Persekutuan untuk menekan rakyat mereka sendiri. Mereka seperti Mustapa Mohamad, Awang Adek tidak memihak kepada rakyat negeri nya sendiri. Ibrahim Ali yang sedang mencuba-cuba untuk menjadi pemimpin itu sendiri menyebelahi pimpinan Persekutuan untuk menekan dan menghimpit rakyat Kelantan.

 

Itu sebabnya selalu saya katakan, bagi rakyat Kelantan cara untuk mendapatkan hak mereka ialah untuk terus menolak pihak yang melakukan kezaliman terhadap mereka itu. Menolak UMNO habis-habisan merupakan perjuangan yang suci untuk melindungi rakyat Kelantan dari terus di tipu dan dianiayai oleh pimpinan UMNO Persekutuan.

 

Jika pemimpin seperti Mustapha dan Awang Adek itu melakukan konspirasi penekanan terhadap rakyat Kelantan, adalah tidak wajar mereka ini dijadikan ayam tambatan untuk rakyat Kelantan. Mereka ini sepatutnya dinyahkan dari memimpin rakyat Kelantan kerana mereka ini adalah penghalang kepada rakyat Kelantan untuk menuntut hak mereka.

 

Walaubagaimana pun tekanan terhadap rakyat Kelantan oleh pimpinan UMNO itu, hakikatnya kita wajar percaya yang kebenarannya akan tetap terserlah. Kebenaran itu rasanya akan dapat diperolehi dalam pilihanraya yang akan datang ini. Jika diizinkan Tuhan, PAS akan menjadi parti dalam kerajaan, maka mudahlah bagi rakyat Kelantan untuk mendapatkan hak mereka yang telah dinafikan oleh UMNO selama ini…insyaallah.

 

Mohonlah keredaan Tuhan tanpa henti-henti dan secara intensif.. Tuhan akan tetap bersama mereka yang benar,  lebih-lebih lagi bagi mereka yang dizalimi oleh puak pemerintah ini.

 

Doa orang yang dizalimi adalah doa yang mudah dimakbulkan Tuhan. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

 

Share on Myspace