KUALA LUMPUR: Apakah indikator sebenar yang melayakkan skuad Harimau Muda A diberikan 'keistimewaan' ke kejohanan Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2013?

 

Bahkan, kata Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang, boleh jadi perkara itu memalukan imej negara sekiranya 'terbocor' kepada pihak luar kerana namanya Sukan Universiti Dunia tetapi yang dihantar bukanlah mereka yang belajar di universiti.

 

Berikut kenyataan beliau mengenai perkara itu.

 

Beberapa hari lalu kita dikejutkan dengan pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi menghantar skuad Harimau Muda A ke kejohanan Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2013 di Kazan, Rusia pada 6 hingga 17 Julai depan.

 

Apa yang mengejutkan ialah apabila pemilihan tersebut dibuat dengan mengenepikan johan liga bolasepak antara universiti, iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia yang seharusnya mewakili Malaysia dalam acara di kejohanan tersebut.

 

Bagi pandangan Solidariti Mahasiswa Malaysia, ia sama sekali menidakkan kemampuan mahasiswa di universiti yang juga mempunyai kompetensi dalam acara bolasepak dan tidak semestinya menyerahkan nama negara hanya kepada skuad Harimau Muda semata-mata.

 

Bahkan jika dilihat kepada objektif penganjuran Sukan Antara IPT (SUKIPT) adalah melatih dan melahirkan atlit bagi mewakili negara dalam kejohanan-kejohanan besar seperti Sukan Universiti Asean, Sukan Sea, bahkan sehingga ke Olimpik.

 

Namun, apabila keputusan pemilihan skuad Harimau Muda A dibuat ia memberikan gambaran jelas kepada kita bahawa atlit-atlit di universiti telah diketepikan terutama dalam acara bolasepak yang sering menjadi acara tumpuan bagi mana-mana kejohanan sekalipun.

 

Jika dilihat kepada kompetensi juga sudah tentu atlit yang berada di universiti sudah mempunyai kelebihan seperti yang disebut oleh KPT bahawa jumlah atlet IPT yang ke Olimpik London sebelum ini mencecah hampir 30%. Dan hasrat KPT melalui pelbagai program dan inisiatif dalam bidang sukan adalah bagi melahirkan Thinking Athlete's.

 

Apakah sukan dalam negara kita juga telah dipolitikkan sehingga keputusan sedemikian dibuat tanpa mengira nilai kompetensi mahasiswa yang belajar di universiti dalam negara?

 

Atau apakah universiti dalam negara kita masih belum menggambarkan kepada pengendali-pengendali sukan tanah air sehingga mereka diketepikan sama sekali?

 

Malah mewakili kelompok mahasiswa saya merasakan tindakan KPT menyerahkan baton negara dalam kejohanan besar seperti ini adalah tidak profesional sama sekali.

 

Tidaklah pula SMM berpendirian bahawa harimau muda belum cukup kompeten bagi menghadapi kejohanan ini, namun yang meragukan adalah bagaimana proses keputusan pemilihan skuad yang bakal membawa nama negara ditentukan.

 

SMM juga mempersoalkan bagaimana pula, apabila KPT dan jurulatih skuad Harimau Muda boleh menyebut bahawa skuad Harimau Muda nanti akan dimasukkan ke IPT tertentu apabila mereka pulang nanti.

 

Apakah indikator sebenar yang melayakkan mereka diberikan 'keistimewaan' seperti itu?

 

Bahkan, boleh jadi perkara itu memalukan imej negara sekiranya 'terbocor' kepada pihak luar kerana namanya Sukan Universiti Dunia tetapi yang dihantar bukanlah mereka yang belajar di universiti.

 

Bagaimana kita mahu melestarikan hasrat bersama ‘Majulah Sukan Untuk Negara’.

Share on Myspace