KUALA LUMPUR: PAS akan mengadakan Himpunan Tanah Rakyat di Skudai, Johor pada 17 Mac ini bagi membincangkan isu tanah yang berkait dengan perundangan yang sedia ada termasuk isu kampung tradisi yang akan diambil kerajaan.

Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, himpunan tanah itu bukan sahaja akan membincangkan masalah tanah di Johor tetapi juga di negeri-negeri lain termasuk berkaitan tanah rancangan Felda dan Felcra.

Himpunan yang akan disertai beberapa pakar itu akan berakhir dengan resolusi yang akan diserahkan kepada Pakatan Rakyat untuk tindakan lanjut.

"Himpunan tanah ini bukan sahaja akan bertumpu kepada masalah pengambilan tanha di Pengerang untuk projek Rapid tapi masalah tanah di negeri-negeri lain juga.

"Kita akan bentang apa langkah penambahbaikan terhadap akta kanun tanah negara, kedudukan tanah rezab Melayu dan juga enakmen tanah negeri yang sebahagiannya perlu dikaji semula," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Himpunan tanah itu akan turut disertai Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk Dr Nik Zain Nik Yusof.

Lawatan kerja Presiden

Sementara itu, Mazlan turut mengalu-alukan kehadiran Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam lawatan kerja dua hari ke negeri itu bermula 16 hingga 17 Mac bersama Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali.

Lawatan kerja itu katanya disifatkan sebagai satu penghormatan kepada Johor menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Presiden aturkan lawatan kerja khusus untuk meninjau persiapan PAS Johor yang mensasarkan 15 Dun bertanding," katanya yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Program besar yang akan dihadiri Presiden ialah lawatan ke Pengerang dan akan menyampaikan amanat kepada 1,000 penduduk kampung yang akan dipindahkan kerajaan akibat projek Rapid.

Program-program lain pada 16 Mac ialah jamuan rakyat di Taman Tropika, Kulai Jaya, majlis makan malam NGO Pengerang di Dewan Poh Ann Kong, Sungai Rengit dan ceramah di Batu 18 kampung Sungai Tiram.

Pada 17 Mac pula, selain Himpunan Tanah Rakyat akan berlangsung juga sambutan lima tahun dun maharani dan Sungai Abong di Markas PAS batu 3, Bakri dan ceramah pada sebelah malam di Kampung Seri Jaya, Tangkak.

Share on Myspace