KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pusat akan melancarkan Tabung Perajurit Tragedi Lahad Datu bagi membantu keluarga perajurit yang gugur mempertahankan kedaulatan tanah air dalam insiden bersenjata di Lahad Datu, Sabah hari ini.

“Insya-Allah DPPM akan melancarkan Tabung Perajurit Tragedi Lahad Datu dan DPPN Terengganu juga Selangor akan menziarahi keluarga perajurit yang gugur di medan untuk menghulurkan sumbangan tanda kebersamaan DPPM.

"Semoga Allah menganugerahkan pahala syahid buat mereka yang gugur di medan Lahad Datu. Al Faatihah,” tulis Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan di Facebook beliau.

Dua anggota keselamatan negara, Inspektor Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin dari Unit 69 Komando bersama 12 penceroboh bersenjata dari selatan Filipina maut dalam insiden tembakan. Tiga anggota polis dilaporkan cedera.

Dalam pada itu, Nasrudin (gambar kanan) turut menyeru rakyat berdoa mohon Allah swt selamatkan negara dan semua rakyat khasnya pasukan keselamatan yang sedang bertugas di Lahad Datu.

“Kebijaksanaan pihak berwajib sangat didambakan pada saat seperti ini. Keselamatan dan kedaulatan negara pastinya tidak boleh dipertaruhkan. Semoga negara, pasukan keselamatan dan penduduk Lahad Datu selamat.

"Ketegasan pihak kerajaan sangat diperlukan agar penceroboh tidak sampai mengancam nyawa rakyat kita serta merendahkan martabat serta kedaulatan negara,” kata beliau.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib sementara itu dipetik berkata insiden tembakan antara pasukan keselamatan dan kumpulan penceroboh itu berlanjutan selama 20 minit.

Beliau menegaskan bahawa kumpulan penceroboh dari Filipina yang terlebih dahulu melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan Malaysia.

"Pihak komando polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri dan berlaku pertempuran antara kedua pihak," kata Hamza yang dipetik Bernama.

 

Share on Myspace