KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat 10 perkara penting yang ditekankan di dalam manifesto Pakatan Rakyat (PR) adalah bagi tawaran kepada anak muda khasnya dan rakyat amnya untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 ini nanti.

 

“Ianya sudah tentu bagi menjamin peranan dan keperluan anak muda di era perubahan dan keyakinan atas sokongan kepada PR bagi membina Negara yang lebih berprinsipkan keadilan dan berkebajikan,” ujar Naib Ketua DPPM, Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss (gambar).

 

Katanya, antara intipati yang menarik yang boleh dikongsi bersama anak muda adalah jaminan PR untuk memastikan 1 juta peluang pekerjaan baru untuk rakyat khasnya.

 

Malah, ujarnya penekanan bagi perlaksanaan gaji minima juga diambil berat dan penubuhan tabung dengan peruntukan RM2 bilion bagi permudah pelaksanaan gaji minima.

 

Tambahnya lagi, antara penekanan lain juga adalah untuk memastikan 1 juta tenaga kemahiran terlatih dari kalangan lepasan sekolah diwujudkan.

 

PR juga, ujar beliau melihat perlunya universiti teknikal di negara ini dan akan menyediakan lima buah universiti tersebut.

 

“Penyediaan latihan kepada 1 juta belia dan lepasan sekolah akan dirangka oleh kerajaan PR jika diberikan mandat oleh rakyat kelak, malah penyediaan 25 sekolah vokasional juga sebahagian daripada perancangan untuk generasi belia dalam negara kita,” katanya lagi.

 

Beliau menambah, bagi rumah mampu milik juga menjadi fokus utama untuk semua lapisan masyarakat dan golongan anak muda yang telah mendirikan rumah tangga juga mengisi keperluan tersebut.

 

Selain itu, ujarnya PR bersedia untuk melihat dasar automotif yang akan menguntungkan rakyat khasnya bagi tujuan keperluan kenderaan.

 

“Malah PR juga berjanji agar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan. Penumpuan ke atas pakej pengajian dan perkhidmatan awam juga dipastikan bagi kemudahan dalam negara kita.

 

“Kami yakin pengisian di atas manifesto PR akan menjamin dan memelihara Negara kita agar lebih berdaya saing dan menjadi negara maju di masa hadapan,” katanya.

 

Tambah beliau lagi, ia juga mengisi kehendak dan peranan yang dimainkan oleh generasi muda khasnya yang menjadi aset penting di dalam negara kita.

 

 

Share on Myspace