Ke mana wang RM11,000 bantuan baiki rumah

Khairil Abdul Rahim | .

Siah bersama Khalit di hadapan rumah barunya yang dibina tanpa bantuan PBR.


TEMERLOH: Seorang penduduk dari Kampung Bangau Tanjung di sini menggesa pihak berkenaan menyiasat ke mana bantuan ibu saudaranya yang disenaraikan menerima bantuan di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) sebanyak RM11,000 untuk membaikpulih rumah sedangkan tidak menerimanya.

 

 

Malah, Khalit Majid, 50, berkata ibu saudaranya Siah Ismail langsung tidak tahu menahu serta tidak mendapat apa-apa maklumat tentang kelulusan bantuan sehinggalah diberitahu oleh orang lain.

 

Bantuan PBR diluluskan ketika lawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika lawatan beliau ke kampung berkenaan tahun lalu.

 

Turut diluluskan ialah dewan bernilai RM500,000, parkir masjid RM30,000 selain 10 orang penerima bantuan PBR dengan nilai RM11,000 setiap orang.

 

Bantuan PBR diagihkan kepada isi rumah miskin tegar melaui kelulusan kementerian berkenaan atau berdaftar dalam Sistem e-kasih Jabatan Kebajikan Masyarakat.

 

Khalit berkata, kes tersebut seolah-olah menganiaya ibu saudaranya kerana orang ramai menyangka beliau mendapat bantuan sedangkan tidak mendapat apa-apa.

 

“Sebab itu saya mohon disiasat kerana kita khuatir mungkin ada penyelewengan di mana-mana,” katanya.

 

Siah, 85, yang turut berada bersama Khalit mengesahkan beliau tidak tahu apa-apa langsung sama ada diluluskan atau batal kerana tidak pernah memohon bantuan tersebut.

 

Bagaimanapun beliau mengaku namanya tercatat dalam surat kelulusan daripada Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh.

 

Katanya, memang dahulu rumahnya buruk dan uzur tetapi kini telah mendiami rumah baru setelah dibina oleh anak-anaknya.

 

Sementara itu, seorang lagi penerima PBR Zainuddin Mohamad, 56, mengadu kerja-kerja baik pulih yang dilakukan oleh kontraktor terhadap rumah kediamannya tidak berpadanan langsung dengan kos RM11,000.

 

“Bantuan diluluskan RM11,000 tapi anggaran barang yang dibeli hanya sekitar RM2,500 sahaja dan tukang hanya mengambil masa tiga hari menyiapkannya,” katanya.

 

Tambahnya, peruntukan lulus pada bulan Disember yang lalu dan merupakan fasa kedua. Difahamkan fasa pertama juga terdapat penyelewengan sehinggakan kebanyakan penerima tidak puas hati.

 

Surat kelulusan Pejabat Daerah tertera nama Siah sebagai penerima bantuan.

Khalit Majid
Share on Myspace