KUALA LUMPUR: Pengerusi Sekretariat Prihatin OKU, Mohammad Faizal Che Yusof (gambar) yakin Pakatan Rakyat akan menjaga kebajikan OKU dengan sebaik mungkin.

Walaupun tidak ada disebut dengan terperinci dalam manifesto Pakatan Rakyat janji untuk OKU, beliau yakin Pakatan akan menjaga kepentingan OKU.

"Saya menegaskan bahawa manifesto yang telah dibentangkan adalah suatu dokumen umum sebagai gambaran kasar kepada perancangan Pakatan Rakyat sebaik memenangi pilihan raya umum ke13 kelak.

"Saya menegaskan bahawa melalui PAS dalam Pakatan Rakyat, pembangunan OKU tidak akan sekali-kali dikesampingkan bahkan akan beriringan dengan agenda perubahan yang dibawa," katanya.

Menurut Faizal, selaku Pengerusi Secretariat Prihatin OKU, beliau menerima pelbagai respon terhadap manifesto Pakatan Rakyat yang dilancarkan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat keempat di Shah Alam kelmarin.

Rata-rata Komuniti OKU termasuk individu OKU dan ahli keluarga menanti penuh harapan kepada pembentangan manifesto yang bertemakan Pakatan Harapan Rakyat, katanya.

Suatu yang jelas, ia menggambarkan betapa Komuniti OKU menaruh harapan tinggi kepada perubahan yang dibawa oleh PAS bersama Pakatan Rakyat, tegas beliau dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

"Saya menerima dengan fikiran terbuka setiap kritikan dan respond yang diluahkan disebabkan tiadanya pernyataan khusus berkaitan pembangunan OKU dalam manifesto tersebut," jelas beliau.

Sebagaimana ditegaskan oleh Presiden PAS YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam Himpunan Perdana Ummah PAS pada 3 Februari 2013, OKU ada peranan dalam mengisi kemenangan kelak.

"Sebagai individu yang bertanggungjawab menyuarakan isu-isu OKU, saya penuh yakin isi kandungan Al Quran dan Hadith berkaitan pembangunan OKU mampu diterjemahkan kepada perlaksanaan sebaik PAS bersama Pakatan Rakyat menduduki Putrajaya, bahkan itu adalah komitmen pihak sekretariat," katanya.

Seruan beliau kepada seluruh OKU dan ahli keluarga OKU, teruslah bersama PAS untuk membawa Islam dalam perlaksanaan bersama Pakatan Rakyat demi kesejahteraan hidup OKU yang lebih baik di Malaysia pada masa hadapan.

"Saya penuh percaya, manifesto Pakatan Harapan Rakyat yang dilancarkan bukanlah suatu dokumen yang bersifat muktamad atau eksklusif, bahkan ia bersifat inklusif dan sedia untuk menerima perubahan.

"Ayuh, giatkan usaha, tingkatkan pergantungan kepada Allah Rabbul Jalil menuju Malaysia baru bersama PAS dalam Pakatan Rakyat pasca PRU13," katanya.

Share on Myspace