KUALA LUMPUR: Bagaimana Datuk Seri Najib Razak boleh mengekalkan kerusi Presiden Umno selepas pilihanraya umum ke 13?

1.  BN menang besar iaitu mendapat kembali 2/3 majoriti.

2.  Selangor di tangan BN dengan syarat BN menang dengan apa-apa majoriti.

Menurut penganalisa politik Harakahdaily, Najib yang kini menjawat Pengarah jentera BN Selangor adalah untuk tujuan ini.

“Selangor adalah insuran Najib untuk kekal sebagai presiden Umno. Semua tahu BN tidak mungkin dapat 2/3 majoriti, bahkan ramai yang meramalkan kekalahan Umno-BN kali ini telah hampir menjadi realiti.

"Tapi jika BN dapat menawan Selangor, walaupun tewas di Putrajaya, lubuk emas itu akan mengekalkan Najib sebagai Presiden Umno pada pemilihan parti akan datang,” kata beliau.

Sebelum ini, Koordinator BN Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed telah mengumumkan bahawa Najib akan mengetuai jentera pilihan raya negeri dalam usaha parti tersebut untuk merampas semula negeri bawah pimpinan Pakatan Rakyat itu.

"Perdana Menteri yang merupakan Pengerusi BN negeri akan mengetuai jentera pilihan raya umum di Selangor dan ini menunjukkan satu kesinambungan kepada parti bagi menunjukkan keyakinan dan perhatian khusus secara 'hands on' oleh beliau sendiri kepada negeri Selangor.

"Saya pula akan membantu beliau sebagai timbalan pengarah untuk membantu dari segi perancangan dan gerak kerja terutama untuk memperkukuhkan jentera BN pada satu tahap lebih optimum untuk menjamin kemenangan mutlak parti," katanya.

Mohd Zin juga yakin bahawa yakin peluang amat cerah bagi BN untuk menguasai Selangor.

“Keyakinan Mohd Zin dan pertaruhan Najib untuk mengetuai Selangor sememangnya menguatkan dakwaan pembangkang bahawa ada sesuatu tidak kena dengan pertambahan jumlah pengundi baru yang membanjiri Selangor dan juga pemindahan pengundi dari Sabah yang dikesan masuk ke negeri itu,” kata penganalisa politik Harakahdaily.

Menyentuh mengenai saranan Pengarah Pilihanraya PAS Pusat Dr Hatta Ramli yang memberikan amaran kepada pengundi ‘warganegara express’ supaya tidak mengundi kali ini, penganalisa berkata itu adalah satu langkah yang bijak.

“Warganegara express boleh tidak mengundi sebenarnya dan jika di diberi pilihan, mereka tidak mahu mengundi. Oleh kerana takutkan BN, mereka terpaksa mengundi kerana takut. Jika mereka tahu, BN bakal tewas, percayalah mereka rela tidak mengundi dan akan mendengar saranan PR untuk tidak mengundi.

"Oleh itu, semakin Najib melewatkan PRU13, mereka akan bertambah yakin PR akan menang, dan mereka akan mendapat keberanian untuk ingkar arahan dan perjanjian untuk tidak mengundi,” tegas beliau.

Share on Myspace