KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Pakatan Rakyat akan memastikan pemegang jawatannya nanti tidak menjadikan anak beranaknya kaya raya sebagaimana yang berlaku dalam kerajaan BN sekarang.

"Kita akan pastikan monopoli kepada industri gas, petroleum dan arak mesti dihentikan," kata Anwar menyindir anak Tun Dr Mahathir yang kini menjadi antara orang terkaya di Malaysia.

Menurut Anwar, tindakan kerajaan BN menggunakan perjuangan untuk orang Melayu untuk mengangkat anak beranak sendiri menjadi kaya raya juga tidak akan dipertahankan.


"Memberi bilion kontrak kepada anak bekas PM kerana dia sendiri penasihat Petronas...No..ia tidak akan berlaku lagi," kata Anwar.


Anwar mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir kononnya jika Pakatan Rakyat berkuasa, kronisme akan berleluasa.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang semakin hari semakin menyerupai Ketua Umum BN dan pengarah jentera pilihanraya BN sekali lagi menyerang bekas timbalannya yang beliau pecat secara drastik dan penjara pada tahun 1998.

Kali ini, Mahathir menafikan dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau sebagai penasihat Petronas telah terlibat dalam pemberian kontrak Petronas kepada anak beliau, Mirzan.

Sebelum ini, Anwar mempersoalkan tindakan kerajaan  menjual sahamnya di ExxonMobil dengan harga di bawah pasaran kepada konglomerat Filipina San Miguel Corp, yang Mirzan adalah salah seorang pengarahnya.

Anwar berkata Mirzan walaupun telah meletak jawatan daripada San Miguel, beliau masih kekal sebagai seorang pengarah di dalam satu anak syarikat iaitu Petron Corporation.

Pada 2011, San Miguel telah menawarkan untuk membeli ExxonMobil pada harga di bawah pasaran.

Mahathir pula sebaliknya mengecam Anwar, dengan berkata bekas timbalannya telah memberi banyak kontrak kepada penyokongnya ketika berkuasa.

Beliau berkata ketika beliau menjadi Perdana Menteri, telah dipamerkan semasa mesyuarat agong Umno senarai orang yang mendapat kontrak semasa Anwar berkuasa.

“Terdapat dalam senarai nama-nama penyokongnya dan keluarganya. Tidak ada satupun dari anak saya yang tersenarai,” tulis beliau di blognya.

Sebagai PM, Mahathir berkata beliau berkali-kali tidak membenarkan anaknya untuk terlibat dalam politik dan perniagaan yang berkaitan dengan kerajaan.

“Jika mereka berjaya samada dalam perniagaan atau politik, ini adalah atas usaha mereka sendiri. Dan ini semua berlaku selepas saya letak jawatan Perdana Menteri,” tegasnya.

Di dalam Petronas, di mana beliau penasihatnya, Mahathir menegaskan syarikat minyak negara itu adil dan tidak berat sebelah kepada anaknya.

Beliau juga mendakwa bahawa beliau hanya mengetahui bahawa anaknya Mirzan telah dianugerahkan kontrak oleh Petronas selepas perjanjian itu dimeterai.

“Saya sanggup bersumpah di dalam masjid dengan menjunjung Quran bahawa saya tidak ambil bahagian sama sekali dengan pemberian kontrak kepada anak saya,” tegas Mahathir sambil mengulang cabarannya terhadap Anwar untuk bersumpah di atas Quran untuk menafikan fitnah liwat terhadapnya.

Mahathir kemudiannya berhujah berkata kuasa sebenar Petronas adalah di tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau turut mempertahankan Mirzan daripada dakwaan bahawa beliau terlibat di dalam San Miguel, yang satu masa dulu syarikat arak terbesar, dengan berkata ia bukan syarikat bir sahaja tetapi semakin banyak terlibat dalam industri makanan dan petroliam.

Disebabkan dakwaan itu, kata Mahathir, Mirzan telah meletakkan jawatan sebagai pengarah di dalam San Miguel.

“Sekarang dia hanya menjadi pengarah dalam syarikat minyak Petron. Dahulu syarikat ini dikenali sebagai Exxon Mobil dan telah menjadi pembekal minyak ke pesawat terbang di KLIA,” tegas beliau.

Sebelum ini pelbagai pihak mengecam Mahathir selaku Pengerusi Petronas kerana membenarkan Petron mengambil alih Petronas dalam membekalkan minyak ke pesawat di KLIA.

Share on Myspace