SHAH ALAM: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub melihat manifesto Pakatan Rakyat yang diumumkan semalam merupakan satu tawaran berharga untuk rakyat.

Katanya, dengan tawaran yang dikemukakan itu, rakyat kini boleh membuat jangkaan terhadap masa depan mereka jika memilih Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

"Manifesto ini menjadi satu hadiah yang paling berharga untuk rakyat dari Pakatan Rakyat.

"Ia juga menunjukkan satu dimensi terbaik untuk rakyat lakukan perubahan pada pilihanraya nanti," jelasnya kepada Harakahdaily.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berharap rakyat Malaysia dapat membaca serta mengkajinya untuk mendapat kefahaman lebih mendalam mengenainya.

"Saya harap rakyat Malaysia dapat menerima dan membaca serta mengajinya untuk pemahamanan yang lebih.

"Kali inilah peluang terbaik kita untuk memandu minda rakyat kearah kehidupan yang lebih baik," jelas beliau lagi.

Semalam sempena Konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam, mereka telah mengumumkan manifesto berdepan PRU13 tidak lama lagi.

Sementara itu, Salahuddin juga berkata suasana akrab ketiga-tiga parti dalam konvensyen semalam mencerminkan bahawa PAS, PKR dan DAP sudah bersedia menggantikan kerajaan sedia ada demi pentadbiran lebih baik.

"Tanggapan diluar mengenai wujud perbalahan itu tidak benar, konvesyen ini membuktikan segala-galanya.

"Jika ada perbezaan pendapat atau pemikiran itu merupakan satu yang dinamik dalam pemikiran parti di dalam Pakatan Rakyat, jadi tidak ada apa yang perlu dirisaukan," katanya.

Share on Myspace