PENGKALAN CHEPA: Selain dipaksa mendengar ceramah pemimpin Umno, ada juga penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diarah hadir ke beberapa tempat bagi menerima surat tawaran BR1M.

 

Di bahagian Pengkalan Chepa baru-baru ini penerima BR1M diarah datang ke Sekolah Kebangsaan Pulau Gajah bagi Dun Chempaka dan sekolah di Chicha Mengambang (Dun Panchor) untuk mendapatkan surat tawaran.

 

Sebaliknya pada program itu penerima dipaksa mendengar ceramah politik Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

 

Menurut penduduk yang hadir hanya kira-kira 10 penerima sahaja yang diberi surat tawaran di sekolah tersebut dan selebihnya diminta datang ke rumah ketua bahagian pada sebelah malam.

 

Ketua Penerangan PAS Pengkalan Chepa, Mohd Azmi Nor berkata, cuba bayangkan orang ramai yang datang memenuhi dewan sekolah hanya diberi 10 orang sahaja surat tawaran kemudian diarah datang pula ke rumah ketua Umno.

 

“Kerana hendak dapatkan surat tawaran orang ramai datang pula pada sebelah malam ke rumah Ketua Bahagian, Dato’ Dali Hussin di Taman Chempaka Putih.

 

“Penerima yang datang memberitahu hanya ada meja yang disediakan tanpa ada lampu untuk memudahkan urusan. Sekali lagi penerima BR1M diarah mengikuti ceramah politik Umno,” katanya.

 

Menurutnya selepas lama menunggu penerima BR1M diarah pula pergi berjumpa dengan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan untuk menuntut surat tawaran.

 

Sedangkan kata beliau sebelum ini pemimpin Umno berkali-kali menafikan BR1M digunakan bagi tujuan politik, namun apa yang berlaku di bawah secara jelas rakyat dijadikan mangsa politik.

 

Sementara itu Azmi yang juga Timbalan Pengaran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri menafikan laporan sebuah akhbar semalam yang menyebut Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan penerima BR1M sebagai binatang.

 

“Apa yang disebut Menteri Besar di Dataran Stadium kelmarin hanya peumpamaan apabila Umno menggunakan apa sahaja bagi menarik sokongan rakyat.

 

“Ia seumpama menabur hampas kelapa bagi menarik minat ayam datang. Mereka menabur umpan di mana-mana sahaja dengan harapan dapat menarik orang ramai,” katanya.

 

(Ikuti pendedahan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

Share on Myspace