Penahanan Hilmi langgar hak asasi - Suhakam

| .

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berpendapat berlaku pelanggaran hak asasi dalam penahanan pekerja kafe Yazid Sufaat, Mohd Hilmi Hasim.

Pesuruhjayanya, James Nagayan, berkata terdapat tiga pelanggaran yang dilakukan pihak berkuasa berhubung penahanan Hilmi.

Pelanggaran pertama berlaku apabila Hilmi tidak dimaklumkan kesalahannya ketika ditahan, kemudiannya menahan melebihi 48 jam dan menghalang daripadanya mendapatkan khidmat guaman.

"Atas ketiga-tiga perkara ini, saya melihat berlaku pelanggaran yang jelas ketika penahanan tersebut berlaku," kata beliau kepada media.

James berkata demikian ketika menerima memorandum daripada ibunya, Rahamah Majid, di pejabat badan itu, petang ini.

Menurut James, pihaknya perlu melakukan siasatan terperinci berhubung pelanggaran tersebut, termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas 2012) (Sosma) itu sendiri.

Beliau turut mempertikaikan tindakan pihak berkuasa yang tidak mengikut Seksyen 112 Akta Polis ketika memanggil Rahamah untuk ditemuduga.

Malah, keengganan pihak polis membenarkan peguam menemani ibu mangsa turut dipersoalkan.

Sehubungan itu, James berkata pihaknya akan mendapatkan pelbagai pandangan daripada semua pihak, termasuk kerajaan dan Majlis Peguam.

Hilmi, ditahan pada 8 Feb lalu, di kediamannya di Bandar Baru Sg. Buloh, dan hanya dibenarkan bertemu ibunya pada hari kelapan beliau ditahan.

Ketika pertemuan tersebut, Rahamah diminta pihak polis untuk memujuk Hilmi agar bersetuju menjadi saksi polis dalam perbicaraan membabitkn Yazid Sufaat dan Hlimah Hussein.

Sekiranya Hilmi enggan, empat pertuduhan bakal dikenakan ke atas beliau dan boleh dipenjarakan selama 97 tahun.

Pada 18 Feb, Hilmi melalui peguamnya bertindak memfailkan habeas corpus bagi menentang penahanannya.

 

Share on Myspace