Kabin mungkin jadi bilik gerakan pilihan raya

Harakahdaily | .

 

 

KUALA LUMPUR: Tindakan pihak yang meletakkan kabin di atas taman permainan dan tanah rizab amat dikesali dan dibimbangi akan digunakan untuk bilik gerakan pilihan raya.

Kabin-kabin telah mula diletakkan di kawasan Dewan Negeri Chempaka sejak awal tahun ini walaupun tidak mendapat kebenaran daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad (gambar) berkata, berdasarkan maklumat daripada penduduk tempatan, kabin-kabin itu telah disumbangkan oleh Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Katanya, penduduk tempatan mendakwa kabin itu akan digunakan sebagai bilik gerakan beliau untuk pilihanraya umum yang akan diadakan pada bila-bila masa.

 

“Saya berharap beliau akan tampil ke hadapan memberi penjelasan sekiranya dakwaan penduduk adalah tidak benar,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, adalah menjadi polisi Kerajaan Negeri Selangor untuk tidak membenarkan kawasan-kawasan lapang, taman-taman permainan dan tanah-tanah rizab dicerobohi.

 

Katanya, kejadian di Chempaka itu telah dibangkitkan pada Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor semalam dan Menteri Besar akan bertemu dengan Datuk Bandar dan Yang Dipertua Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan, esok.

 

“Tindakan daripada Pihak Berkuasa Tempatan dilihat sebagai terlalu perlahan kerana tapak kabin itu dan kawasan di sekelilingnya boleh disimen tanpa sebarang tindakan daripada mereka. Sudah tentu kerja-kerja ini memakan masa beberapa hari,” katanya yang juga Adun Chempaka.

Menurutnya lagi, kabin yang diletakkan itu telah mengurangkan kawasan untuk orang ramai terutamanya kanak-kanak berekreasi.

 

Tambahnya, tindakan membolot kawasan untuk orang ramai bagi kegunaan kelompok tertentu adalah satu tindakan yang tidak sensitif kepada keperluan rakyat dan juga tidak bermaruah.

 

“Sebelum ini terdapat penduduk yang meminta saya menyokong permohonan mereka untuk meletakkan kabin di atas kawasan lapang, taman permainan dan tanah rizab.

 

“Walau bagaimanapun saya tidak pernah menyokong mana-mana permohonan tersebut.

 

“Saya bertegas bahawa kawasan-kawasan tersebut adalah untuk kegunaan seluruh rakyat dan tidak wajar dimonopoli oleh sesiapa,” ujarnya lagi.

Share on Myspace