Pada pilihan raya 1969, Tun Dr Mahathir tewas kepada calon PAS dan seterusnya dipecat daripada parti Umno oleh Perdana Menteri ketika itu YM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, selepas surat tulisannya kepada Tunku menimbulkan kemarahan Tunku. Demikian menurut Tunku, di dalam satu temu ramah sekitar awal tahun 1990, yang salinannya dihantar kepada pemimpin Umno seluruh Malaysia.

Dr Mahathir dilaporkan akan ditahan di bawah ISA ketika beliau berlepas dari stesen keretapi Kuala Lumpur menuju Seremban dan ramai anggota polis sedang menunggu untuk menahan Dr Mahathir.

Namun, ditakdirkan sahabat baik Dr Mahathir dari Istana Negeri Sembilan iaitu Tunku Abdullah menyelamatkan Dr Mahathir dengan menurunkan beliau di hutan Nilai seterusnya menyembunyikan Dr Mahathir di Istana Melewar. Tunku yang dimaklumkan polis tentang isu ini telah membuat keputusan untuk tidak mengizinkan polis ke istana. Hal ini kerana, Tunku tidak mahu mengeruhkan hubungannya dengan Istana.

Allahyarham Tun Razak Hussein akhirnya membawa Dr Mahathir kembali ke dalam Umno dan beliau menjawat pelbagai jawatan kabinet sehinggalah beliau menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981, sekalipun beberapa hari sebelum perlantikannya, seorang setiausaha akhbarnya ditahan ISA atas tuduhan terlibat dengan gerakan komunis. Kemudiannya penahanan setiausaha akhbar itu disifatkan sebagai agenda Allahyarham Ghazali Shafie cuba menyekat perlantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Dalam Pilihan Raya 1969 juga menyaksikan kaum Cina mula mendapat lebih kerusi yang seterusnya mencetuskan rasa tidak senang hati segolongan penyokong Umno yang dilaporkan menyebelahi Tun Abdul Razak Hussein. Mereka menggesa beliau supaya menggantikan Tunku secepat mungkin sebagai PM. Walau bagaimanapun, Tun Razak tidak rasa perlu untuk tergesa-gesa menjadi Perdana Menteri sekalipun didesak oleh para penyokongnya.

Sebab utama kenapa Tunku ditentang ialah kerana Tunku dilihat lebih menyebelahi kaum Cina, ini tidak menghairankan kerana Tunku dibesarkan dan juga bekerja dalam kerajaan yang persekitaran yang di kelilingi oleh kaum Cina. Malah Tunku juga berjaya mengadakan Rundingan Baling dengan Chin Peng pada tahun 1955 secara aman dan selamat yang mungkin ketika itu dilihat secara berhati hati dan was was oleh segolongan penyokong Umno.

Dokumen serta saksi saksi lisan mengesahkan kampung halaman Chin Peng di Sitiawan Perak namun dinafikan Mahkamah negara kita dengan alasan yang amat lemah iaitu ketiadaan surat beranak. Persoalannya berapa ramaikah rakyat tanah melayu ketika itu mempunyai surat beranak selepas melaporkan kelahiran di rumah pasung (balai polis) berdekatan.

Jika dikaji secara terbuka, Chin Peng menentang penjajah British manakala Umno yang tunduk pada British atas alasan tidak perlu pertumpahan darah. Lantas membiarkan saja British mengaut keuntungan besar daripada hasil bijih timah, getah dan lain-lain. Wang hasil bijih timah dan getah yang begitu substantial jumlahnya disimpan oleh Kerajaan British Tanah Melayu di  bank bank di Singapura dan kemudiannya dilaporkan diberikan sebagai pinjaman pada Amerika dengan dikenakan faedah untuk membiayai peperangan di mana-mana Amerika mengambil bahagian.

Tunku Abdul Rahman pernah diserang hendap di stesen kereta api Tanjung Malim. Komunis menyangka kerata api ini dinaiki Persuruh Jaya Tinggi British, Sir Henry Gurney. Komunis memohon maaf pada YM Tunku serta merta setelah mendapati tiada Persuruhjaya British, cuma YM Tunku dan rombongannya.

Henry Gurney kemudiannya dibunuh oleh komunis di Bukit Fraser. Beliau adalah orang yang bertanggungjawap membantu Israel apabila Israel mula merampas tanah rakyat Palestin serta membunuh rakyat Palestin. Henry Gurney diberi tugas menasihati Israel tentang isu-isu keselamatan semasa menceroboh Palestin atas arahan majikannya kerajaan British yang berpusat di London. Namun asasnya, komunis cuma membunuh Sir Henry Gurney sahaja dan membiarkan pemandu serta isteri Henry Gurney terus hidup. Pembunuhan Henry Gurney dilakukan komunis atas alasan risalah yang mahukan Chin Peng hidup atau mati dengan ganjaran 250 ribu Pound Sterling yang bersamaan RM1 juta. Ketika itu jumlah RM1 juta amat benilai sekali kerana sebungkus nasi lemak boleh dibeli dengan wang 1 sen (RM0.01).

Dengan sedikit penerangan di atas, maka nampak jelaslah sedikit hubungan baik Tunku dengan kaum Cina yang sentiasa berterusan semenjak zaman persekolahan sehinggalah zaman Tunku berkhidmat di pelbagai jabatan kerajaan hinggalah menjadi Perdana Menteri yang pertama.

Berbalik pada malam 12 Mei menuju ke tengah malam iaitu awal pagi 13 Mei 1969. Seperti yang diceritakan pada saya oleh seorang persara polis yang kini berkhidmat sebagai pemandu teksi. Kejadian yang membuatkan kaum Melayu marah (mengikut kefahamannya sebagai anggota polis ketika itu) ialah pembunuhan wanita mengandung di luar panggung Capitol Kuala Lumpur.

Namun dengan merujuk kepada beberapa bahan yang telah diisytiharkan oleh Kerajaan British sebagai tidak lagi sulit, kita akan dapati kacau bilau mula dicetuskan oleh kaum Melayu di Kampung Baru. Mereka adalah penyokong Umno yang turut melibatkan Dato’ Harun.

Jelas, kekecewaan penyokong Umno yakni penyokong Tun Razak yang mahukan Tun Razak segera menggantikan Tunku Abdul Rahman yang di lihat mereka sebagai pro-Cina.  Namun, Tun Razak tetap dilaporkan tidak bersetuju dengan idea untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman. Maka dengan ringkasnya, untuk kefahaman yang mudah, provokasi serta huru hara 13 Mei dimulakan oleh segolongan penyokong Umno sendiri yang seterusnya mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa semata-mata atas prinsip Michaevelli – “end justify the means” untuk mencapai matlamat mereka sekalipun caranya salah dianggap mereka sebagai munasabah.

Amat malang bagi rakyat pelbagai bangsa di Tanah Melayu. Mereka tertipu oleh British yang memerintah dengan memecahbelahkan kaum Melayu dan Cina hinggakan kaum Cina menentang British dari dalam hutan sebagai komunis (dasar pecah dan perintah). Dalam hal ini saya amat bersimpati dengan terkorbannya begitu ramai anggota pasokan keselamatan Tanah Melayu termasuk pasukan polis bantuan dan sebagainya semasa menentang komunis.

Jika dikaji perbuatan Umno menakut-nakutkan antara kaum kini, saling tak tumpah seperti British dahulu. Jadi, pihak pasukan keselamatan kini terutamanya PDRM dan ATM patut lebih bijak melihat senario ini dan tidak termakan umpan hasutan Umno  pada saat akhir sebelum PRU.

Pasukan keselamatan patut melihat semula nama beberapa individu dan pertubuhan yang telah pun dikategorikan oleh Cawangan Khas sebagai satu kumpulan samseng Melayu. Amat menghairankan saya apabila PM dan pemimpin Umno berjawatan menteri berkongsi pentas dengan pertubuhan tersebut. Apakah Cawangan Khas cuma mampu melihat sahaja situasi ini atau  telah menasihatkan PM sebelum hadir ke majlis berkenaan berdasarkan maklumat awal kain kain pemidang yang PM dijemput hadir?

Namun, ulangan episod berdarah 13 Mei amat mustahil untuk berlaku pada zaman ini. Hal ini kerana jika di rancang sebagai lakonan, akhirnya akan terbongkar hanya dalam beberapa minit dengan visual di internet.

Maka rakyat serta merta dapat membuat kesimpulan perkara itu 'distage' yang seterusnya. Lantas menjadikan rakyat tidak terpengaruh dengan apa-apa provokasi palsu. Tunku Abdul Rahman mungkin tidak dapat dijatuhkan oleh penyokong Umno sendiri jika kewujudan internet sudah meluas seperti hari ini.

Dalam suasana hari ini, perlu satu Suruhanjaya Di Raja ditubuhkan untuk menyiasat punca sebenar huru hara 13 Mei 1969. Tragedi yang jelas mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa berdasarkan kertas kertas Sulit Kerajaan British yang kini di klasifikasi semula sebagai tidak lagi sulit agar dapat menjadi teladan dan sempadan supaya dapat dielakkan daripada berulang lagi.


 

Share on Myspace