IPOH: PAS Perak hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) berhubung kelulusan pemilikan tanah kerajaan negeri di Bandar Seri Iskandar.

 

Koordinator Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak, Dr Raja Iskandar Al-Hiss berkata, tanah seluas kira-kira 14.164 hektar (35 ekar) diberikan pajakan negeri kepada Syarikat Proaktif Upaya Sdn. Bhd milik Setiausaha Pemuda BN Perak yang juga Ketua Pemuda Umno Ipoh Barat sekitar bulan April 2012 yang lalu.

 

Menurutnya, pihaknya mempersoalkan tindakan kerajaan negeri melalui pihak berkuasa negeri mengikut perjumpaan majlis mesyuarat meluluskan pajakan tersebut kepada Ketua Pemuda Umno itu.

 

“Ini menimbulkan persoalan bagaimana tanah tersebut boleh diluluskan kepada kroni mereka,” katanya ketika ditemui Harakahdaily selepas selesai membuat laporan di SPRM Perak, Meru, Ipoh dekat sini hari ini. (Gambar atas)

 

Hadir sama ialah Ahli Jawatankuasa Strategik dan Isu, Salman Saleh, Hafez Sabri dan Safarizal Saleh.

 

Katanya, hasil daripada semakan pihaknya di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), syarikat itu terbukti dikategorikan tidak aktif.

 

Ini, katanya menjadi satu tanda tanya kepada rakyat khususnya di negeri Perak bagaimana kerajaan negeri boleh memberi pemilikan tanah ini kepada syarikat pemimpin mereka yang dibuktikan tidak aktif.

 

Mengulas lanjut, katanya tanah tersebut diberikan pajakan negeri selama 99 tahun dengan kos keseluruhan hampir RM45,000.

 

“Kami hari ini tampil mengemukakan laporan agar pihak SPRM membuka kertas siasatan kerana berlaku penyalahgunaan kuasa di atas kelulusan tersebut.

 

“PAS mendesak agar pihak SPRM menjalankan siasatan dengan beberapa dokumen sokongan seperti peta dan juga akaun terima bayaran bagi bukti siasatan,” jelas Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia itu.

 

Jelas Raja Iskandar, kelulusan tersebut ternyata menjadi persoalan adakah pemberian tersebut mempunyai unsur-unsur salah guna kuasa kerana ianya melibatkan pemimpin parti politik.

 

“Kami juga mengharapkan Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Kadir menjawab isu ini kerana ianya melibatkan integriti kerajaan yang dipimpin beliau.

 

“Kami harap satu lagi pendedahan ini dapat dijelaskan kepada umum dan kami tidak teragak-agak untuk meneruskan pembongkaran penyelewengan BN Perak,” tegasnya.

 

Share on Myspace