Badan Perhubungan PAS Negeri Perak akur dan merafak sembah di atas titah ucapan Pemangku Paduka Seri Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada majlis Wacana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang membangkitkan persoalan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 nanti antara PAS dan Umno yang menunggu mandat rakyat dalam sistem demokrasi Negara kita.

 

Kami menghargai segala titah nasihat Raja Dr Nazrin Shah dan merasakan ianya perlu diambilkira dan direalisasikan secara serius jika diberikan kuasa mentadbir Kerajaan Negeri Perak kelak nanti, Insya Allah.

Amalan pentadbiran bersih dan adil tanpa sebarang unsur salahguna kuasa dan rasuah sentiasa menjadi inspirasi serta kehendak rakyat ini sangat seiring dan bertepatan dengan titah yang telah disampaikan oleh Raja Dr Nazrin Shah. Ianya sangat bertepatan dengan Islam yang mementingkan prinsip taqwa, adil dan amanah di dalam mentadbir sesebuah kerajaan.

 

Malah semasa 11 bulan pemeritahan Pakatan Rakyat (PR) yang diterajui Menteri Besar PAS, Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin, kami telah mengetengahkan prinsip tersebut dalam membangunkan umat Islam di dalam pelbagai program peringkat negeri seperti kempen solat dan memakmurkan masjid.

 

Kami yakin dan prihatin terhadap prinsip tersebut dan akan berusaha sedaya upaya kami bagi memastikan setiap anggota dan penyokong kami seiring dengan matlamat sebuah kerajaan yang bukan hanya bersih dan adil, malah memberikan keutamaan kepada rakyat atas semangat Negara Berkebajikan terutama kepada golongan yang amat memerlukan.

Atas perkara tersebut juga, kami serlahkan keperibadian PAS yang nyata berbeza dari cara Umno mentadbir pentadbiran kerajaan kini. Mesej tersebut telah sampai kepada semua pihak bahawa Umno yang menerajui Barisan Nasional (BN) walaupun telah diberikan peluang kedua hasil 'rampasan kuasa' untuk memerintah negeri ini, namun masih juga tidak serik dan meneruskan amalan kronisma pastinya akan ditolak sekali lagi oleh rakyat.

 

Faktor tersebut mendorong kami untuk terus berusaha bagi menyelamatkan pentadbiran kerajaan negeri terutamanya daripada terus dinodai oleh suasana yang berunsur kronisma dan penyalahgunaan kuasa. Ayuh, rakyat Perak kita kembalikan imej Perak di atas prinsip keadilan dan keamanan sebenar!

*Dr Ahmad Nuri Al-Amin adalah Ketua Penerangan, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak.

Share on Myspace