Kaum India tetap sokong Pakatan Rakyat

V Sivakumar | .

 

 

Masyarakat India di negara ini tidak pernah dihormati oleh Barisan Nasional walaupun jasa mereka kepada negara ini tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak. Orang-orang India yang datang ke Tanah Melayu telah memberi sumbangan yang begitu besar dalam pelbagai sektor.

 

Kebanyakan orang-orang yang datang itu adalah dari India Selatan  dan Sri Lanka yang merangkumi orang Tamil, Telugu dan Malayalam. Walaupun mereka telah melibatkan diri dalam pelbagai sektor ekonomi negara ini tetapi yang paling ketara ialah dalam industri perladangan getah. Tanpa orang-orang India, tidak mungkin sektor perladangan ini telah berkembang begitu maju. Keringat masyarakat India telah sebati dalam pembangunan dan kemajuan negara ini.

 

Pada suatu ketika dahulu, getah merupakan salah satu daripada eksport utama negara ini. Sektor perladangan getah telah membawa masuk aliran wang asing ke negara ini. Sektor ini juga boleh dianggap sebagai asas kepada pembanguan dan kemajuan yang kita nikmati hari ini.

 

Orang-orang India begitu setia kepada majikan dan tanahair ini. Walaupun mereka tidak mendapat upah yang setimpal dengan kerja yang mereka lakukan tetapi mereka tidak pernah memberontak. Ada juga pemimpin yang pernah menghina kaum India yang bekerja di ladang dengan ungkapan-ungkapan yang amat menyakitkan hati seperti “apa yang mereka buat di belakang pokok tiada siapa yang tahu”.

 

Selepas kemerdekaan pun nasib mereka tidak berubah juga. Walaupun tenaga mereka dikerah oleh majikan tetapi mereka tetap taat setia kepada syarikat ladang. Mungkin sikap taat setia dan menunduk inilah yang dipermainkan oleh Barisan Nasional selama ini. Orang-orang India dianggap sebagai golongan yang mudah dibeli dan dipengaruhi oleh kerajaan. Tambahan pula Barisan Nasional juga merasakan bahawa kaum India mudah ditakutkan olehnya.

 

Kerajaan menakutkan kaum India dengan menggunakan orang-orang MIC, PPP, IPF, Gerakan, NGO, Cawangan Khas Polis dan sebagainya. Selain daripada itu, di kebanyakan ladang-ladang pula, Barisan Nasional menggunakan majikan untuk menakutkan orang-orang India.  Peluang ini  digunakan oleh Barisan Nasional untuk meraih undi kaum India selama ini. Ketakutan yang ada pada sebilangan besar orang-orang India itu dijadikan modal kekuatan Barisan Nasional untuk memenangi pilihanraya.

 

Selain daripada faktor negatif itu, Barisan Nasional juga menggunakan satu lagi taktik untuk mendapat sokongan daripada kaum India. Mereka menggunakan wang sebagai faktor penarik. Orang-orang India yang berada dalam keadaan serba kekurangan dan kemiskinan dipergunakan oleh Barisan Nasional untuk kepentingan mereka. Golongan berpendapatan rendah ini dibeli dengan wang ringgit dan sumbangan-sumbangan lain. Pemberian sedikit wang kepada golongan fakir miskin boleh mempengaruhi sokongan dan undi mereka.

 

Barisan Nasional sedar bahawa pihak pembangkang sukar untuk menandinginya dalam permainan politik wang. Oleh yang demikian, Barisan Nasional cuba menggunakan wang untuk memenangi hati orang-orang India miskin yang menjadi sasaran mereka. Golongan miskin yang kurang berpendidikan  seperti ini mudah tertipu dengan pemberian-pemberian seperti ini.

 

Untuk menawan hati golongan seperti ini Perdana Menteri Najib Tun Razak melancarkan BR1M RM500 pada tahun 2012 dan 2013. Bukan sahaja sekadar itu Barisan Nasional juga menjanjikan RM1,000 jika mereka menang kembali Putrajaya. Semua ini dibuat dengan harapan rakyat miskin boleh ditipu dengan wang untuk menang dalam PRU13.

 

Adakah orang-orang India yang selama ini ditindas dan dihina oleh Barisan Nasional akan termakan  racun yang diberikan oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak?

 

Pihak MIC cukup yakin bahawa orang-orang India boleh dipengaruhi oleh Barisan Nasional dengan pemberian wang dan ‘hamper’. Mereka juga cuba membuktikan sokongan kaum India kepada Barisan Nasional dengan membuat program-program kesenian, kebudayaan, keagamaan dan sebagainya. Kehadiran orang-orang India dalam program-program seperti itu tidak boleh dianggap sebagai sokongan yang jati kepada Barisan Nasional. Orang-orang India datang ke program-program itu untuk menghiburkan hati mereka sahaja. Niat sebenar mereka bukanlah untuk memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional.

 

Sebagai contoh, program ‘Otrumai Ponggal’ yang dibuat oleh Barisan Nasional di Dataran Merdeka Kuala Lumpur baru-baru ini dibanjiri oleh orang-orang India. Tetapi, pada realitinya, setiap cawangan MIC dipaksa untuk membawa orang-orang India ke program tersebut.

 

Selain daripada itu, orang-orang India yang dibawa ke Daratan Merdeka itu dijanjikan dengan sejumlah wang tunai dan melancong beberapa tempat di Kuala Lumpur dan sekitarnya. Perkara ini boleh dibuktikan kerana ramai juga yang merungut bahawa mereka tidak menerima wang yang  dijanjikan dan tertipu dengan agenda membawa mereka melancong. Mereka ini telah dipergunakan oleh Barisan Nasional untuk kepentingan politiknya. Program ‘Otrumai Ponggal’ itu sebenarnya diatur dalam keadaan terdesak untuk mendapat sokongan kaum India.

 

Wang berjuta-juta ringgit dibelanjakan oleh Kerajaan Barisan Nasional untuk membodek kaum India. Tetapi adakah mereka akan mendapat sokongan kaum India dalam PRU13?

 

Pada pandangan saya, kaum India tidak mudah tertipu oleh Barisan Nasional dengan agenda politik mereka. Penindasan yang dilakukan oleh Barisan Nasional tidak mudah dilupai oleh kaum India. Pemberian BR1M RM500 atau RM1000 tidak akan mengubah nasib mereka di negara ini. Harapan kaum India adalah lebih besar daripada itu. Peluang pekerjaan dalam sektor awam, peluang pendidikan tinggi dalam bidang ikthisas, peluang kontrak dan perniagaan, masalah kad pengenalan merah, masa hadapan sekolah-sekolah Tamil dan sebagainya adalah antara perkara-perkara yang langsung tidak dipedulikan oleh Barisan Nasional.

 

Sebagai kesimpulan, Barisan Nasional tidak akan mendapat sokongan daripada majoriti kaum India. Walaupun saya tidak mempunyai statistik kajian yang konkrit untuk menguatkan hujah saya, tetapi saya cukup yakin bahawa lebih daripada 60% kaum India akan menyokong Pakatan Rakyat dalam PRU13. Saya membuat unjuran ini berdasarkan maklum balas dan pemantauan pelbagai pihak terhadap sokongan kaum India.

 

Penulis ialah Timbalan Pengerusi DAP Perak yang juga Adun Tronoh.

Share on Myspace