SHAH ALAM: Selangor berjaya mencapai pelaburan sebanyak RM10.5 bilion bagi tempoh Januari hingga Oktober 2012 iaitu melebihi jumlah purata yang ditetapkan iaitu RM10 bilion.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok berkata bagi tempoh itu, Selangor mencatat rekod tertinggi berbanding negeri lain, dan juga tertinggi sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri 2008 lalu.

Nilai itu juga katanya sekaligus menjadikan negeri itu antara penyumbang terbesar kepada pelaburan di Malaysia iaitu sebanyak 30 peratus.

Jumlah RM10.5 bilion itu katanya lagi melibatkan 211 projek perkilangan yang diluluskan masing-masing 131 projek baru dengan nilai RM7.477 bilion dan 80 projek pembesaran dan pelbagai dengan nilai pelaburan berjumlah RM3.043 bilion.

Beliau berkata, dari jumlah pelaburan yang diluluskan di Selangor, sebanyak RM6.5 bilion (62%) adalah daripada pelaburan tempatan manakala sebanyak RM3.9 bilion (38%) daripada pelaburan asing.

“Dari segi potensi peluang pekerjaan pula, Selangor turut mencatat jumlah potensi peluang pekerjaan tertinggi sebanyak 18,975 peluang pekerjaan. Dari segi peratus, mencatatkan sebanyak 31 peratus daripada jumlah peluang pekerjaan yang diwujudkan di Malaysia,” katanya dipetik Selangorku.

Beliau menambah industri pembuatan barangan peralatan kenderaan mencatatkan nilai pelaburan tertinggi berjumlah RM4.4 bilion dengan 34 projek. Ia diikuti dengan Industri Pembuatan Barangan Elektrik dan Elektronik sebanyak RM1.5 bilion dengan 19 projek.

Tambahnya, jumlah itu menunjukkan Selangor masih kekal sebagai destinasi pilihan pelaburan tempatan dan asing, malah pelabur tempatan menaruh harapan keyakinan dan kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan negeri.

“Kita menjangkakan Selangor akan terus berada di kedudukan nombor satu sehingga akhir tahun 2012,” katanya.

Untuk rekod, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sejak 2008 hingga Oktober 2012, Selangor muncul negeri tertinggi dengan jumlah sebanyak RM48.53 bilion

 

Share on Myspace