MELAKA: Setiausaha Badan Perhubungan PAS Melaka, Asri Shaikh Abdul Aziz kesal dengan tindakan Umno negeri yang menggunakan auditorium Masjid Al A'zim untuk program Pelancaran Jentera Kempen dan Ceramah Penerangan baru-baru ini.

 

"Umno Melaka memang terdesak, buat program di Masjid, mereka kata kita mempolitikkan masjid tetapi dari dahulu Umno lah yang mengotorkan masjid dengan program politik sempit mereka.

 

"Masjid pun mereka cemarkan dengan program politik, apakah mereka sudah tidak ada tempat lain untuk mengadakan program Umno atau adakah mereka sengaja menggunakan masjid untuk mendapat kemudahan percuma," kata Asri yang juga Penyelia Dun Lendu.

 

Program tersebut ialah Majlis Pelancaran Jentera Kempen dan Ceramah Umno Peringkat Negeri Melaka menjelang PRU13 anjuran Biro Penerangan Umno Melaka pada 7 Februari lalu, jam 9.00 malam.

 

Sehubungan itu, Asri menggesa Ketua Penerangan Umno Melaka, Datuk Idris Harun dan Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menjawab isu mempolitikkan masjid dengan program Umno tersebut.

 

"Rakyat mahu tahu apa sebab dan alasan Umno boleh guna kemudahan masjid untuk program mereka. Kalau benar program politik dibenarkan di masjid atau di dewan masjid sila buka kepada semua parti politik supaya adil.

 

"Parti-parti dalam PR juga ingin menggunakan kemudahan auditorium ini, jika Umno boleh takkan kita tidak boleh," tegas Asri.


Beliau berkata, Umno Melaka memang terkenal dengan sikap mereka menggunakan masjid dan surau untuk kepentingan politik Umno.

 

Menurutnya, mereka bukan sahaja memastikan semua ahli jawatankuasa masjid dan surau mesti orang Umno malah program-program agama juga banyak diberhentikan atas alasan yang tidak munasabah.

 

"Ada ustaz-ustaz yang mengajar di surau dan masjid dihalang kerana kononnya mereka tiada tauliah dan mengajar tanpa kebenaran sedangkan ada antara mereka lulusan Al-Azhar dan lulusan agama IPTA tempatan.

 

"Sepatutnya ustaz-ustaz ini diberi tauliah bukannya dihalang dari menyampaikan ilmu agama kepada anak kariah," ujar Asri.

 

 

Share on Myspace