KUALA LUMPUR: PAS akan mencatat sejarah apabila buat pertama kali membenarkan calon bukan Islam bertanding di atas tiket PAS dan menggunakan lambang parti dalam Pilihan raya Umum ke-13 nanti.

 

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Majlis Syura telah membenarkan perkara tersebut dan PAS akan memilih calon yang sesuai untuk bertanding dari kalangan ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

"Ini kali pertama dalam sejarah kita calonkan DHPP. Kerusi itu (yang mereka tandingi) memang kerusi PAS maka mereka akan bertanding atas lambang parti," katanya dipetik BuletinOnline.

 

Beliau menyatakan pada sidang media selepas merasmikan program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden di Markas PAS Kawasan Kuala Terengganu, Kuala Ibai semalam.

Beliau berkata, DHPP sebagai sayap parti PAS yang baru, mempunyai keahlian seramai 35,000 orang di kalangan bukan Melayu dan bukan Islam.

Dalam PRU12 pada 2008, PAS Johor meletakkan calon wanita bukan Islam, Kumutha Raman, pemegang ijazah undang-undang dari Britain, bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tiram dalam kawasan Parlimen Johor Baharu.


Share on Myspace