TEMERLOH: PAS mengecam tindakan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) yang mengarahkan dibakar kitab penganut agama Kristian, Bible, kerana tindakan tersebut bercanggah dengan Islam dan menggesa kerajaan bertindak.

 

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, provokasi tersebut jika tidak diambil tindakan dikhuatiri akan menimbulkan perbalahan dan suasana yang tidak harmoni dalam negara ini.

 

“Dalam sebuah hadis jelas Nabi Muhammad mengatakan dihina tuhan-tuhan orang kafir, kelak mereka akan menghina tuhan kamu iaitu Allah.

 

“Sebab itu pihak berkuasa tidak seharusnya berdiam diri tetapi mesti bertindak sebelum api keagamaan atau perkauman itu marak,” katanya selepas mesyuarat Badan Perhubungan PAS Pahang di sini hari ini.

 

Pesuruhjaya PAS Pahang itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menyeru umat Islam bersatu dan membakar kitab Injil yang menggunakan nama Allah dalam perhimpunan pertubuhan tersebut di Pulau Pinang baru-baru ini.

 

Ekoran kenyataan Ibrahim, terdapat beberapa desakan supaya beliau diambil tindakan termasuk daripada parti Gerakan dan MIC.

 

Tuan Ibrahim berkata, isu yang dimainkan oleh Perkasa bertujuan untuk menimbulkan curiga antara agama yang boleh mencetuskan pertelagahan antara kaum.

 

“PAS dukacita kerana Perkasa tidak mengkritik Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang membenarkan Bible diterjemah ke dalam bahasa Melayu, sedangkan ia bercanggah dengan Majlis Fatwa Kebangsaan,” katanya.

 

Sementara itu sempena sambutan ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW hari ini, Tuan Ibrahim menyeru umat Islam kembali kepada sunnah rasul, iaitu manusia yang telah menghapuskan kekufuran, syirik dan mengembalikan sistem yang yang menepati fitrah manusia.

 

“Mari jadikan kedatangan Maulid Rasul hari ini sebagai roh perjuangan Islam untuk menang pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Share on Myspace