Minyak di atas daratan di Kelantan

| .

KOTA BHARU: Berita gembira bakal diterima oleh rakyat Kelantan sekiranya penemuan minyak benar-benar berlaku di atas daratan di beberapa buah lokasi di negeri itu.

Bagi mengesahkan perkara itu, kerajaan negeri bakal melantik sebuah syarikat untuk mengkaji secara sah wujudnya ura-ura berhubung penemuan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa (gambar), berkata walaupun Petronas enggan mendedahkan maklumat itu, namun ianya sampai juga pada kerajaan negeri.

“Antara kawasan yang dijangkakan mempunyai rizab itu Kota Bharu dan Tumpat,”ujarnya.

Husam menambah, cadangan untuk melantik syarikat luar berkenaan telah dipersetujui dalam mesyuarat exco semalam di Kota Darul Naim.

Pada sidang medianya itu, Husam berkata, proses pelantikan syarikat tersebut yang bertanggungjawab untuk mengesan penemuan minyak itu akan dilakukan seberapa segera yang mungkin.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas identiti syarikat terbabit buat masa sekarang.

Bagi menjayakan hasrat itu, kerajaan negeri akan berunding dengan syarikat terbabit secepat mungkin disamping mengguna pakai setiap undang-undang yang ada bagi menghasilkan sendiri pengeluaran minyak.

Antaranya melalui saman kerajaan negeri kepada Petronas, kerajaan Pusat menyatakan minyak di atas daratan adalah hak sepenuhnya negeri berkenaan bukannya pusat.

Beliau juga turut mengakui, rizab penemuan minyak itu lebih besar jika dibandingkan dengan yang ada di laut.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan kerajaan Pusat dan Petronas yang mendakwa Kelantan tidak berhak mendapat royalti kerana kedudukannya melebehi tiga batu nautika dari daratan.

Ini bermakna, katanya apabila penemuan minyak di darat dalam negeri Kelantan, kerajaan Pusat tidak boleh berbuat apa-apa berdasarkan hujah tersebut.

“Adakah kerajaan Pusat boleh menerima dengan dakwaan mereka sendiri dan Kelantan tidak akan membayar pada mereka walaupun satu sen berdasarkan hujah tersebut, sekiranya benar hasil minyak benar-benar terdapat di darat,”ujarnya.

Husam juga turut menyifatkan kenyataan Petronas dan kerajaan sebagai berbahaya apabila mendakwa Kelantan hanya boleh mendapat hasil sekiranya ia dikeluarkan dari bumi negeri itu.

Share on Myspace