PAS jalan operasi kesan pemilik IC palsu

| .

KUALA LUMPUR: PAS Selangor sedang mengadakan operasi mengesan pemilik-pemilik kad pengenalan (IC) yang diragui di negeri itu.

Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Selangor, Khairuddin Othman (gambar kiri) berkata, operasi tersebut dilakukan dengan pergi dari rumah ke rumah mengikut alamat di IC.

Ia berikutan pertambahan mendadak pengundi di Selangor yang mencecah 450,000, manakala 130,000 pula tidak dapat dikesan berdasarkan alamat yang didaftarkan.

"PAS memang meragui peningkatan luar biasa pengundi di selangor ini jadi jentera PAS mengadakan operasi mengesan pengundi-pengudi yang diragui ini.

"PAS juga meminta SPR memberi kerjasama mengesan pengundi yang diragui ini yang kebanyakannya dikesan di Hulu langat dan Subang," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau berkata, situasi ini dikhuatiri merupakan taktik Umno BN untuk merampas Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ini kerana BN berjaya menumbangkan kerajaan PAS Terengganu pada PRU ke-11 apabila memindahkan pengundi Selangor ke Terengganu.

"Kita minta SPR siasat peningkatan pengundi ini sebab kita tidak mahu perkara sama berulang, BN menang sebab taktik kotor," katanya.

Pakatan Rakyat mengesan, Umno BN sedang berusaha membawa pengundi Terengganu ke Selangor bagi membantu parti itu menawan semula Selangor dalam PRU Ke-13.

Pengundi tersebut merupakan pengundi Selangor yang dibawa ke Terengganu pada 2004.

Umno BN yang yakin mampu menang besar di Selangor dalam PRU ke-11, sebahagian besar pengundi di negeri itu dipindahkan ke Terengganu.

Akibatnya dalam PRU ke-12, Umno BN Selangor jatuh ke tangan Pakatan Rakyat kerana kehilangan pengundi yang dipindahkan ke Terengganu dalam PRU sebelumnya.

Share on Myspace