IPOH: Pakatan Rakyat Perak masih menunggu respons daripada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir tentang jemputan debat yang dianjurkan.

 

 

Jurucakap Jawatankuasa Teknikal Debat Darul Ridzuan, Safarizal Saleh berkata, sehingga hari Pengerusi BN negeri itu belum memberi maklum balas rasmi.

 

Menurutnya, pihaknya sudah menghantar surat rasmi kepada Zambry di Pejabat Umno Perak minggu lalu.

 

Safarizal menjelaskan, pihaknya kesal apabila Zambry hanya membuat kenyataan keengganan berdebat di Utusan Malaysia hari ini.

 

“Zambry tidak professional kerana hanya memberi respons di akhbar Utusan, sepatutnya membalas surat rasmi yang telah dihantar kepada beliau,” katanya dalam sidang media di Pejabat PAS Perak, hari ini.

 

Beliau yang juga Setiausaha Penerangan PAS Perak menjelaskan, pihaknya masih mengalu-alukan kesanggupan Zambry hadir ke program tersebut walaupun sudah membuat kenyataan ketidakhadirannya di akhbar Utusan.

 

Jelasnya, Zambry sebagai menteri besar sepatutnya bersifat terbuka dan menyahut pelawaan itu kerana ia memberi peluang kedua-dua belah pihak untuk menjelaskan segala isu-isu yang dibangkitkan khususnya di persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak baru-baru ini.

 

Katanya, debat secara sihat ini akan menjernihkan segala persoalan yang belum dijawab termasuklah pemberian projek perhotelan Rumah Perak di Batu Feringgi dan pemberian kawasan balak kepada 6 syarikat milik seorang individu berumur 28 tahun.

 

Debat ini juga katanya akan menjawab segala dakwaan yang dilontarkan Adun Umno di sidang Dun yang mengatakan Kerajaan Kelantan memberi tanah kepada Adun DAP Perak untuk melantik Datuk Seri Nizar Jamaluddin menjadi menteri besar.

 

“Zambry sepatutnya berani bersemuka menjawab segala tuduhan ini dan saya pasti rakyat di negeri ini sangat berharap kehadiran beliau bagi menjawab segala persoalan,” tegasnya.

 

Safarizal berkata, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham telah menyatakaan kesediaan untuk berdebat.

Share on Myspace