Projek IC: Keraguan rakyat terhadap SPR berasas
| Hazayani Zakaria, | 17 Jan 2013 |
KUALA LUMPUR: PAS mendesak pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), disiasat berhubung pemberian kad pengenalan kepada warga asing untuk menjadi pengundi di Sabah.Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli berkata, siasatan tersebut bukan hanya perlu dilakukan ke atas SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sahaja tetapi ke atas semua agensi dalam kerajaan yang terlibat.
"Apa yang diragui kita selama ini ada benarnya bahawa berlaku konspirasi melibatkan SPR dan JPN untuk beri IC kepada rakyat asing," katanya kepada Harakahdaily.
Ahli Parlimen Kuala Krai itu berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Mohd Nasir Sugip semalam berhubung kerjasama pihak berkuasa untuk mengubah demografi pemilih Sabah pada tahun 1990-an.
Nasir ketika memberi keterangan kepada Suruhanjaya Diraja (RCI) berkata, jabatanya pernah menerima arahan daripada SPR negeri untuk memberi kad pengenalan kepada pendatang asing bagi membolehkan mereka mengundi
Nasir yang pernah ditahan bawah ISA sebelum ini mendakwa operasi yang digelar "Ops Durian Buruk" itu dijalankan antara tahun 1992 hingga 1995.
Dakwanya, pengarah SPR Sabah pada masa itu, Wan Ahmad Wan Yusof menyerahkan senarai 16,000 nama untuk diklasifikasikan sebagai pengundi "Bumiputera Islam".
berkata, pendedahan dalam RCI itu juga membuktikan keraguan rakyat terhadap ketelusan SPR ada asasnya.
"Ini bukan pengakuan biasa yang boleh diketepikan tapi pengakuan bersumpah dalam RCI," kata Hatta lagi.
Beliau menambah, operasi yang melibatkan penukaran dan mencipta nama baru, dikenali sebagai 'Ops Durian Buruk' itu bukan sahaja melibatkan keselamatan negara tapi satu penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong.
"Ini bukan sahaja memberi kesan besar dalam Pilihan Raya Umum tapi melibatkan keselamatan negara kerana melibatkan rakyat asing dan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Tambah beliau, perkara tersebut diyakini bukan sahaja berlaku di Sabah tetapi turut berlaku di negeri lain pada PRU ke-11 pada tahun 2004.
"Contohnya pemindahan pengundi Selangor ke Terengganu dan pemberian IC kepada warga asing untuk mengundi di Terengganu yang menyaksikan peningkatan mendadak peratusan keluar mengindi di negeri itu," katanya.
Dakwanya, pengarah SPR Sabah pada masa itu, Wan Ahmad Wan Yusof menyerahkan senarai 16,000 nama untuk diklasifikasikan sebagai pengundi "Bumiputera Islam".
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

