KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) meminta rakyat agar tidak takut untuk menghadiri himpunan itu pada Sabtu ini kerana polis telah memberi jaminan keselamatan sepanjang perhimpunan berlangsung.

 

Pengerusi HKR, Mohamad Sabu yakin keselamatan rakyat sepanjang himpunan itu akan terjamin memandangkan polis akan memberi kerjasama nanti.

 

Beliau dan beberapa orang lagi pimpinan Pakatan Rakyat mengadakan pertemuan dan perbincangan lebih satu jam bersama Ketua Polis Dang Wangi (OCPD) Zainuddin Ahmad.

 

"Pertemuan ini adalah peraturan biasa dalam Akta Perhimpunan Aman, dan ini sebagai memenuhi peraturan ini," katanya.

 

Beliau percaya para peserta himpunan tidak akan membawa sepanduk yang akan menghina agama orang lain.

 

Sehubungan itu, katanya, orang ramai boleh membawa sepanduk atau kain rentang bagaimanapun ianya tidak boleh menimbulkan sebarang provokasi.

 

"Syarat ini katanya, antara 27 syarat yang perlu dipatuhi oleh peserta HKR. Pada awalnya ia tidak dibenarkan membawa kain rentang tetapi kami membantah syarat itu, akhirnya polis membenarkan asal tidak menimbulkan sebarang ketidakpuasan hati sesetengah pihak," katanya dalam sidang media di perkarangan IPD Dang Wangi. (Gambar atas)

 

Sementara itu, Hishamuddin Rais yang juga jawatankuasa HKR meminta media melaporkan agar perserta himpunan menggunakan pengangkutan awam untuk ke Stadium Merdeka.

 

Beliau mengingatkan para peserta tidak merosakkan barang-barang serta padang Stadium Merdeka kerana ia adalah padang warisan yang perlu dipelihara.

 

"Kita juga dimaklumkan oleh pihak polis akan ada jalan-jalan ditutup untuk melancarkan perjalanan himpunan itu nanti.

 

"Dan kita juga meminta kereta tidak diletak di bahu jalan di sekitar stadium dan meminta polis membenarkan para peniaga berniaga di kawasan itu," katanya.

 

Beliau turut memberitahu beberapa lokasi berkumpul dan masing-masing akan diketuai oleh pimpinan Pakatan Rakyat serta NGO.

 

-         Masjid Negara (Hijau) akan diketuai oleh Dr Mujahid Yusof Rawa, Khalid Samad dan Azmin Ali.

 

-         Pasar Seni (Ungu atau jingga) akan diketuai oleh Dr Siti Mariah Mahmud, Teresa Kok, dan Elizabeth Wong.

 

-         Universiti Malaya (Anak Muda) akan diketuai oleh Raja Iskandar Al Hiss, Adam Adli, Nurul Izzah Anwar dan Saiful Anang.

 

-         KLCC akan dikepalai oleh Husam Musa dan Mazlan Aliman

 

-         Brickfield dan KL Central di kepalai oleh Zunar Kartunis, Arun dan Faizal.

 

 

Share on Myspace