5,000 anggota Unit Amal bertugas pada HKR 12 Jan

Hazayani Zakaria | .

KUALA LUMPUR: Unit Amal PAS menyediakan sekurang-kurangnya 5,000 anggota untuk bertugas di Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) pada 12 Januari ini.

 

Menurut Ketua Pengarahnya, Johari Osman (gambar), Unit Amal sudah membahagikan tugas mengikut kawasan-kawasan yang ditetapkan oleh pengajur HKR.

Mereka akan mula berkampung di Kuala Lumpur bermula pagi esok dan dikehendaki melaporkan diri sebelum jam 12 tengah malam.

"Esok Unit Amal dari luar Kuala Lumpur dan Selangor akan mula turun ke Kuala Lumpur. Kita akan berada di sekitar Stadium Merdeka malam esok dan akan mula bertugas pada pagi Sabtu," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata, Unit Amal akan bekerjasama dengan Skuad Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda DAP sepanjang himpunan berjalan dari jam dua hingga lima petang.

"Kita mengadakan kerjasama dengan AMK dan Pemuda DAP menjaga kelancaran himpunan," katanya.

Sementara itu, Johari berkata pihaknya bersedia dengan sebarang kemungkinan waalaupun polis berjanji akan memberikan kerjasama penuh.

"Cabaran tetap ada. Unit Amal tidak boleh ambil ringan HKR kali ini walaupun nampak macam semuanya tenang.

"Memanglah himpunan bermula jam dua petang tapi orang ramai mula berkumpul dari pagi lagi. Jadi kami mesti menjaga pergerakan mereka," katanya.

Beliau turut berpesan kepada orang ramai agar mengikut arahan pihak penganjur dan tidak bertindak sesuka hati.

Share on Myspace